Skip to main content

Malaysia

Belanjawan 2027: Johor Bahru bakal laksana e-ART, Lembah Klang dapat RM100 juta atasi banjir kilat

Kesesakan lalu lintas di Johor Bahru mesti ditangani segera. Kerajaan telah bersetuju melaksanakan Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) sebagai penyelesaian utama. - Gambar hiasan
Kesesakan lalu lintas di Johor Bahru mesti ditangani segera. Kerajaan telah bersetuju melaksanakan Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) sebagai penyelesaian utama. - Gambar hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Isu kesesakan lalu lintas di selatan tanah air dan bencana banjir kilat di kawasan bandar mendapat perhatian khusus dalam Belanjawan 2027 menerusi beberapa pelaksanaan projek pengangkutan serta infrastruktur mitigasi air.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Bagi Johor Bahru, Anwar memaklumkan kerajaan bersetuju melaksanakan Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) sebagai penyelesaian utama menangani masalah kesesakan trafik yang meruncing di bandar raya berkenaan.

Langkah itu diperkukuh dengan persediaan menyeluruh menjelang pembukaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura melalui penambahan laluan serta kekerapan bas henti-henti, perkhidmatan KTM Komuter, dan penyediaan khidmat Grab Shuttle di kawasan-kawasan tumpuan.

"Kesesakan lalu lintas di Johor Bahru mesti ditangani segera. Kerajaan telah bersetuju melaksanakan Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) sebagai penyelesaian utama," kata beliau sewaktu membentangkan teks ucapan di Parlimen.

Sementara itu, bagi mendepani isu banjir kilat di Lembah Klang, kerajaan memperuntukkan dana segera sebanyak RM100 juta bagi tujuan pembinaan kolam takungan baharu serta kerja-kerja penyelenggaraan sungai secara berkala.

Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor telah menyepakati lima langkah utama, termasuk menjalankan penilaian teknikal terhadap keupayaan Empangan Batu dan Empangan Klang Gate bagi menampung kapasiti air untuk tempoh 30 tahun akan datang.

Isu keterjaminan air dan mitigasi bencana di Pantai Timur turut digerakkan menerusi perancangan Projek Empangan Lebir sebagai langkah penyelesaian jangka panjang banjir dan bekalan air di Kelantan, di samping pembinaan Loji Rawatan Air Machang yang sedang giat dijalankan.

Selain itu, rangkaian pengangkutan bandar dan luar bandar terus diperluas melalui kerja-kerja menaik taraf Jalan Pajam-Nilai-Salak, pembinaan jalan baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bandar Enstek, serta pelaksanaan Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) bagi merancakkan koridor Malaysia Vision Valley 2.0 di Negeri Sembilan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement