Skip to main content

Malaysia

Suffian dilantik ketua JSPT Kuala Lumpur baharu

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menyaksikan penyerahan dokumen serah tugas daripada SAC Mohd Zamzuri Mohd Isa (kiri) kepada Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur yang baharu ACP Suffian Abdullah hari ini. - Foto Bernama
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menyaksikan penyerahan dokumen serah tugas daripada SAC Mohd Zamzuri Mohd Isa (kiri) kepada Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur yang baharu ACP Suffian Abdullah hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • ACP Suffian Abdullah dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur yang baharu, menggantikan Mohd Zamzuri Mohd Isa.
  • Mohd Zamzuri kini memangku pangkat SAC dan dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Kepolisan Am) Jabatan KDNKA Bukit Aman.
  • Ketua Polis Kuala Lumpur berharap kepimpinan baharu JSPT meneruskan kecemerlangan dan memperkukuhkan pencapaian jabatan dalam pengurusan trafik ibu negara.
Advertisement

KUALA LUMPUR: ACP Suffian Abdullah dilantik Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur yang baharu, menggantikan Mohd Zamzuri Mohd Isa yang kini memangku pangkat SAC.

Pelantikan itu diumumkan pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua JSPT Kuala Lumpur di Dataran JSPT, di sini hari ini, yang turut menyaksikan Mohd Zamzuri menyerahkan tanggungjawab menerajui jabatan berkenaan kepada Suffian.

Mohd Zamzuri kini dilantik Ketua Penolong Pengarah (Kepolisan Am) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dan jawatan yang ditinggalkan Suffian pula kini disandang Supt Muhammad Ashraf Shukor.

Advertisement

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata beliau yakin pengalaman, pengetahuan dan kepimpinan Suffian mampu meneruskan kesinambungan kecemerlangan JSPT Kuala Lumpur, selain membawa pembaharuan yang bersesuaian dengan keperluan serta cabaran semasa.

Beliau berkata penghargaan turut diberikan kepada Mohd Zamzuri atas segala sumbangan, komitmen dan khidmat bakti sepanjang menerajui JSPT Kuala Lumpur, khususnya dalam memastikan kelancaran pengurusan trafik, keberkesanan penguatkuasaan serta menangani isu keselamatan jalan raya di ibu negara.

Advertisement

Sementara itu, Mohd Zamzuri yang hampir tiga tahun menerajui jabatan berkenaan merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Polis Kuala Lumpur atas kerjasama serta sokongan diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Beliau turut berharap kepimpinan baharu JSPT Kuala Lumpur dapat meneruskan segala usaha yang telah dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik di ibu negara.

Dalam pada itu, Fadil berharap seluruh warga JSPT Kuala Lumpur memberikan sokongan, kerjasama dan komitmen sepenuhnya kepada kepimpinan baharu bagi memastikan segala perancangan serta agenda jabatan itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Beliau turut berharap Suffian akan memimpin jabatan itu dengan penuh kebijaksanaan, ketegasan dan integriti, selain memperkukuhkan pencapaian sedia ada serta membawa JSPT Kuala Lumpur ke tahap yang lebih cemerlang.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement