Ringkasan AI
- Lebih RM225 juta baki dana penyelidikan KPT terbiar hampir dua dekad, dengan RM183.11 juta gagal dipulangkan oleh 11 agensi pelaksana.
- PAC mendedahkan kelemahan tadbir urus, perancangan strategik dan defisit kepimpinan teknikal menjejaskan ekosistem RDCI serta daya saing teknologi negara.
- PAC mengesyorkan SOP pemulangan baki geran, penstrukturan semula RMU, dan audit keselamatan makmal diwajibkan untuk memperbaiki pengurusan dana penyelidikan.
KUALA LUMPUR: Lebih RM225 juta baki dana penyelidikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terbiar selama hampir dua dekad, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Beliau berkata penyata berhubung Program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (RDCI) yang dibentangkan hari ini turut mendedahkan sebanyak RM183.11 juta baki geran penyelidikan di 11 agensi pelaksana juga gagal dipulangkan kepada kerajaan.
PAC berkata kepincangan tadbir urus, kelemahan perancangan strategik dan defisit kepimpinan teknikal menyebabkan ekosistem RDCI negara berada dalam keadaan membimbangkan dan berisiko merencatkan daya saing teknologi perindustrian Malaysia pada peringkat antarabangsa.
“Secara kritikalnya, kerajaan menanggung pelbagai ketirisan dan kerugian yang berpunca daripada kegagalan agensi-agensi untuk mengoptimumkan instrumen pendanaan secara cekap,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.
Beliau berkata prestasi Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) sekadar mencatatkan 1.01 peratus, jauh tersasar daripada matlamat 2.5 peratus, manakala status Malaysia di tangga ke-34 dalam Global Innovation Index (GII) mencerminkan kegagalan negara untuk menembusi sasaran 20 negara teratas seperti yang disasarkan.
Penyata RDCI adalah susulan penemuan kritikal dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang melibatkan tatakelola enam kementerian, iaitu KPT, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
PAC turut mendedahkan kehilangan 19 unit prototaip perubatan i-Breath bernilai RM1.6 juta di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang sehingga kini tidak dapat dikesan dengan hak cipta Harta Intelek peranti tersebut didaftarkan atas nama individu (bekas ketua penyelidik) dan bukan atas nama kerajaan.
Mas Ermieyati berkata PAC juga mendapati Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membelanjakan RM33.80 juta atau 26.9 peratus daripada dana RDCI untuk perbelanjaan mengurus, termasuk tuntutan perjalanan dan elaun pekerja kontrak, bertentangan dengan Garis Panduan Penyelidikan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Kegagalan memuktamadkan komunikasi dan perancangan awal bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyebabkan pembaziran dana peruntukan melebihi RM2 juta oleh MARDI dan KPKM bagi Kajian Industri Ketum yang terpaksa dihentikan di pertengahan jalan,” katanya.
PAC turut mengenal pasti kelewatan selama 15 bulan dalam projek naik taraf bangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terjejas akibat kulat dan asbestos beracun, sekali gus menjejaskan 27 projek penyelidikan dan pembangunan, yang menyebabkan kerajaan menanggung kos tambahan RM1.81 juta bagi sewaan makmal luar.
Menurut Mas Ermieyati, PAC menegaskan bahawa ekosistem semasa yang terlalu tertumpu kepada penyelidikan asas tanpa jaringan kukuh bersama pihak industri telah menyebabkan lambakan hasil inovasi tempatan gagal dikomersialkan.
Sehubungan dengan itu, PAC mengesyorkan Kementerian Ekonomi, MOF dan kementerian berkaitan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan semua institusi pengajian tinggi (IPT), dan agensi pelaksana memulangkan baki geran projek dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas tamat penyelidikan.
“Kegagalan perlu dikenakan penalti bajet atau sekatan geran baharu secara tegas,” katanya.
PAC turut mengesyorkan Kementerian Ekonomi menstruktur semula Unit Pengurusan Penyelidikan (RMU) dengan mandat dan punca kuasa yang holistik bagi memusatkan fungsi koordinasi, dan menghentikan taburan dana awam secara pukal tanpa matlamat komersial yang jelas.
Kementerian Ekonomi, MOF dan MOSTI juga wajib memastikan setiap permohonan geran pengkomersialan disokong dengan penglibatan Rakan Industri Bersama melalui Perjanjian Komitmen Kewangan sebelum sebarang kelulusan dana disalurkan.
Selain itu, PAC mencadangkan pewujudan platform pelaburan strategik nasional bagi menghubungkan hasil penyelidikan dan pembangunan tempatan dengan syarikat pelabur, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), serta modal teroka (venture capital) bagi merapatkan jurang kewangan di fasa prapengkomersialan.
“KPT perlu mewajibkan Audit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan secara berkala di semua makmal penyelidikan universiti dengan sokongan pelan penyelenggaraan pencegahan dan peruntukan kontingensi khusus bagi membendung isu keusangan dan toksik bangunan,” katanya.
-- BERNAMA