KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 mencerminkan pendekatan seimbang dalam memperkukuh daya tahan ekonomi , selain menyokong isi rumah dan perniagaan ketika ketidaktentuan global.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, belanjawan itu turut memberi penekanan kepada peningkatan pendapatan rakyat, akses penjagaan kesihatan dan pelaburan produktif, di samping mengekalkan disiplin fiskal.
“Belanjawan ini memberikan penekanan yang lebih tinggi terhadap usaha memperkukuh daya tahan ekonomi, meningkatkan pendapatan rakyat.
"Menambah baik kemampuan mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan serta menyokong pelaburan yang produktif, di samping mengekalkan disiplin fiskal,” katanya menerusi kenyataan media susulan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Dalam kenyataan sama, BNM turut memperincikan beberapa inisiatif bersama industri kewangan bagi membantu rakyat menguruskan cabaran kewangan serta memperkukuh daya tahan perniagaan.
Antaranya, institusi perbankan akan mula menawarkan kad kredit asas secara berperingkat mulai Oktober ini dengan kadar faedah atau keuntungan maksimum 14 peratus setahun.
Produk berkenaan menawarkan struktur ringkas tanpa program ganjaran atau pulangan tunai, selain membolehkan pemegang kad sedia ada memindahkan baki tertunggak yang layak bagi menikmati kos pembiayaan lebih rendah.
Dalam aspek perlindungan kesihatan, pelan insurans dan takaful kesihatan sukarela MediAsas pula akan diperkenalkan kepada orang ramai pada Januari 2027.
Premium atau sumbangan MediAsas layak mendapat pelepasan cukai pendapatan bagi perlindungan diri sendiri dan ahli keluarga terdekat.
Sebanyak RM40 juta turut diperuntukkan bagi penyediaan baucar MediAsas kepada pekerja perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai kurang daripada 75 pekerja.
Sementara itu, tambahan RM5 bilion diperuntukkan kepada Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 9,000 lagi perusahaan termasuk perusahaan mikro.
Kemudahan itu bertujuan membantu PKS menguruskan tekanan aliran tunai sementara dan mengekalkan operasi susulan kesan ekonomi akibat konflik berterusan di Asia Barat.
Setakat 30 September lalu, pembiayaan berjumlah RM3.8 bilion daripada peruntukan awal RM5 bilion telah diluluskan, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 6,800 akaun PKS.
Kemudahan SME SRF akan terus ditawarkan kepada PKS yang terjejas dalam semua sektor ekonomi sehingga 30 Jun 2027 atau sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya, mana-mana yang lebih awal.
Mengulas prospek ekonomi, Abdul Rasheed menegaskan cabaran utama adalah memastikan produktiviti, inovasi dan pelaburan terus diperkukuh seiring peningkatan pendapatan rakyat.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan dan manfaatnya dapat dinikmati secara meluas.