Skip to main content

Malaysia

Belanjawan 2027 perlu galak pelaburan dalam kesejahteraan pekerja - Lee

61735731976_LeeLamThye.jpg
Lee Lam Thye berkata, kesejahteraan pekerja perlu dijadikan antara teras utama produktiviti dan kemampanan, khususnya selepas pandemik yang menyerlahkan kepentingan mewujudkan persekitaran kerja berdaya tahan dari segi fizikal dan psikologi. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 wajar memperkenalkan insentif cukai bersasar serta sokongan dasar bagi menggalakkan sektor swasta meningkatkan pelaburan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) serta kesejahteraan mental pekerja.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kesejahteraan pekerja perlu dijadikan antara teras utama produktiviti dan kemampanan, khususnya selepas pandemik yang menyerlahkan kepentingan mewujudkan persekitaran kerja berdaya tahan dari segi fizikal dan psikologi.

“Ketika Malaysia membuat persediaan menghadapi Belanjawan 2027, kesejahteraan tenaga kerja perlu diberi keutamaan dengan memperkasa sektor swasta untuk menjadikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta kesejahteraan mental sebagai teras produktiviti dan kemampanan.

“Belanjawan 2027 merupakan peluang terbaik untuk memacu transformasi ini menerusi langkah fiskal bersasar dan sokongan dasar,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Lee mencadangkan Elaun Modal Dipercepatkan diberikan kepada syarikat yang melabur dalam peralatan ergonomik, sistem keselamatan dan kemudahan berkaitan kesihatan mental termasuk bilik rehat, ruang kesejahteraan serta platform terapi digital.

Beliau turut mencadangkan potongan cukai dua kali bagi latihan KKP yang diperakui, kempen kesedaran kesihatan mental, program bantuan pekerja serta pengambilan pegawai keselamatan atau kaunselor tempat kerja yang berkelayakan.

Menurut Lee, pelepasan cukai khas juga boleh dipertimbangkan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang melaksanakan standard asas KKP atau menyediakan mekanisme sokongan kesihatan mental, dengan mengambil kira kekangan sumber yang dihadapi sektor berkenaan.

Selain itu, syarikat yang menyediakan pemeriksaan kesihatan tahunan, penilaian tahap tekanan serta program pencegahan kelesuan melampau dalam kalangan pekerja juga wajar diberikan potongan cukai.

Selain insentif fiskal, beliau mencadangkan geran padanan bagi syarikat yang memperoleh pensijilan KKP yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti ISO 45001 atau mengguna pakai kerangka kesihatan mental yang diiktiraf.

Penubuhan Dana Inovasi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan pula, katanya, boleh menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan teknologi keselamatan, peranti boleh pakai bagi pemantauan kesihatan serta penilaian risiko berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Lee berkata, kerjasama awam-swasta juga perlu diperkukuh bagi membangunkan modul latihan, kit panduan dan platform digital untuk meningkatkan literasi kesihatan mental serta kesedaran mengenai pencegahan bahaya di tempat kerja.

Beliau berkata, majikan juga boleh digalakkan untuk mendedahkan secara sukarela petunjuk prestasi berkaitan KKP dan kesihatan mental, dengan insentif diberikan kepada syarikat yang mencatat prestasi terbaik.

Beliau turut mencadangkan anugerah peringkat kebangsaan diwujudkan bagi mengiktiraf majikan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam aspek KKP dan kesejahteraan mental, sekali gus menggalakkan persaingan sihat serta mengetengahkan amalan terbaik di tempat kerja.

“Belanjawan 2027 perlu mencerminkan komitmen bersama kita untuk mewujudkan tempat kerja yang berperikemanusiaan, selamat dan bersedia menghadapi masa depan.

“Dengan memberi insentif kepada sektor swasta untuk menerajui usaha ini, kita bukan sahaja melindungi nyawa, malah dapat meningkatkan penglibatan pekerja, mengurangkan ketidakhadiran serta memperkukuh daya tahan ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement