PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan sebahagian besar acara yang dijadual dihadirinya dalam minggu ini bagi memberi tumpuan kepada persiapan Belanjawan 2027.
Beliau berkata penyediaan Belanjawan Negara melibatkan pelbagai permintaan dan keperluan rakyat yang perlu diberi perhatian, membabitkan pelbagai sektor serta negeri.
“Saya sebenarnya acara-acara hujung minggu ini semua saya batalkan. Cuma F1 (Gulf Air Grand Prix Bahrain di Malaysia 2026) itu saya terima kerana Malaysia jadi penganjur bersama dengan negara lain.
“Semua dalam dua tiga hari saya batalkan sebab saya terpaksa tumpu untuk menyiapkan belanjawan,” katanya dalam ucapan pada Anugerah Tokoh Siswa Negara, pada Khamis.
Jelas Anwar, beliau perlu meneliti pelbagai keperluan merangkumi pelbagai sektor, termasuk pesawah di Kedah, nelayan di Terengganu, serta bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
“Ribuan jabatan dan puluhan kementerian, semuanya ada kepentingan dan rasionalnya. Dari pesawah di Kedah, nelayan di Terengganu, masyarakat Iban di Sarawak, bidang teknologi, bidang AI, semuanya menuntut perhatian.
“Insya-Allah, tentunya mahasiswa dan universiti juga tergolong dalamnya,” katanya.
Belanjawan 2027 dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini.