KUALA LUMPUR : Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) yang terdiri dari gabungan tujuh persatuan seni utama industri perfileman tempatan melihat pembentangan Belanjawan 2024 kali ini dapat merangsang pertumbuhan industri kreatif dalam negara.

Presiden GAFEMA, Pansha, dalam kenyataan pada Jumaat berkata gabungan itu amat menyambut baik dan berterima kasih diatas keperihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperkasakan pembangunan ekonomi industri perfileman Malaysia seiring kemajuan ekonomi negara.

"Dalam masa yang sama, industri kreatif juga menyokong lain-lain industri secara keseluruhan yang berkaitan.

"Kefahaman Perdana Menteri berkaitan aktiviti seni budaya bukan sekadar hiburan adalah sangat dikagumi bagi membantu memelihara, melestarikan dan menyebarkan warisan budaya dalam masyarakat.

"RM60 juta peruntukan di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) untuk mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan secara langsung mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam negara dalam pelbagai pekerjaan seperti artis, pengarah filem, kru belakang tabir dan banyak lagi," katanya.

Ujar beliau lagi, RM90 juta peruntukan di bawah insentif 'Film in Malaysia Incentive (FIMI)' akan terus menggalakkan penghasilan filem tempatan bertaraf antarabangsa.

Jelas beliau, pindaan menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara 0 hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru filem secara langsung turut menarik minat kemasukan produksi filem asing membuat penggambaran di Malaysia.

"Pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas, acara hiburan seperti tayangan filem serta acara sukan dan permainan di Selangor, Wilayah Persekutuan harus dicontohi oleh negeri-negeri lain yang mengenakan duti hiburan.

"Kadar 25 peratus duti hiburan sedia ada yang terpaksa ditanggung oleh rakyat antara duti hiburan tertinggi di dunia," tambah beliau dalam kenyataan yang sama.

Antara lain, Belanjawan 2024 pada Jumaat turut mengumumkan penganjuran Anugerah Seni Negara secara tahunan bagi mengiktiraf dan menghargai tahap tertinggi kepada tokoh-tokoh, penggiat seni, budaya dan warisan adalah amat dihargai oleh penggiat industri.

GAFEMA diwakili oleh Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Pesatuan Kebajikan Penghibur-Penghibur India Malaysia (MEWA), Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM), Persatuan Pasca Produksi, Animasi Dan Kandungan Kreatif Malaysia (POSTAM), Persatuan ANimasi Malaysia (ANIMAS).