MALAYSIA
Belia India, Cina dan Sikh digalak sertai ATM - PERIM

K Ranney meletakkan kalungan bunga sebagai tanda penghormatan kepada wira-wira yang telah terkorban pada Majlis Peringatan Sempena Hari Pahlawan di Tugu Peringatan Seremban hari ini. - Gambar Bernama
SEREMBAN: Golongan muda daripada masyarakat India, Cina dan Sikh digalakkan untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memperkukuh pertahanan negara sekali gus menjadikan ia sebagai kerjaya yang berdisiplin dan berpotensi tinggi.
Pengerusi Persatuan Veteran India ATM (PERIM) Negeri Sembilan Mejar (B) K Ranney berkata penyertaan dalam ATM bukan sahaja mampu membina jati diri tetapi turut membuka ruang kepada pelbagai bidang kerjaya termasuk teknikal, logistik, perubatan dan kejuruteraan.
"ATM ada tiga cabang iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia, dalam TDM sahaja terdapat lebih 17 cabang kerjaya, begitu juga dengan yang lain.
"Ramai beranggapan masuk tentera mesti kena berperang, kursus diberi untuk berperang tapi jawatan dipegang mungkin tak masuk hutan, ia lebih luas dan merangkumi pelbagai kepakaran," katanya kepada Bernama selepas Majlis Peringatan Sempena Hari Pahlawan di Tugu Peringatan Seremban di sini hari ini.Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan negeri Nicole Tan Lee Koon dan lebih 50 veteran ATM daripada kaum India, Cina dan Sikh.
Dalam pada itu, Ranney berkata golongan berkenaan mungkin tidak tertarik menyertai perkhidmatan ketenteraan kerana cenderung memilih pekerjaan yang dilihat lebih mudah dan kurang mencabar dari segi fizikal dan mental.
"Masuk tentera ini bukan senang kena berkorban, dalam latihan pun amat susah, semangat harus kuat...sebenarnya kenikmatan selepas tamat latihan itu paling seronok, tidak boleh digambarkan," katanya dan menambah pelbagai promosi dibuat untuk menarik golongan itu memasuki ATM.
Sementara itu, beliau berkata program julung kali diadakan di Negeri Sembilan hari ini bertujuan memperingati dan menghargai jasa wira negara dalam mempertahankan negara serta berjuang mendapatkan kemerdekaan tanah air.
"Program sebegini perlu ada sebagai menghargai perjuangan pasukan keselamatan memastikan keamanan negara, anak-anak kita terutama golongan muda harus tahu negara pernah melalui zaman yang begitu pahit, jadi program seperti ini boleh memberi pengetahuan kepada mereka dan lebih cinta akan negara," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami