Skip to main content

Malaysia

Belia perlu jadi jambatan perpaduan masyarakat - Menteri KBS

KUALA LUMPUR, 26 Feb -- Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berucap merasmikan My Athlete Center dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan strategik Karier dan Pendidikan Atlet Malaysia (MACE) di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026)
Dr Taufiq berkata, belia merupakan aset penting dalam mengekalkan keharmonian negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Golongan belia disaran memainkan peranan sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang sekali gus menjadi ejen perpaduan dalam memupuk kesatuan rakyat.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, belia merupakan aset penting dalam mengekalkan keharmonian negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama.

Advertisement

Menurut beliau, sebagai sebuah negara majmuk, Malaysia memerlukan semangat saling menghormati antara satu sama lain dan generasi muda mempunyai peranan besar untuk memastikan keharmonian itu terus terpelihara.

“Golongan belia perlu menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang serta bertindak sebagai ejen perpaduan dalam memupuk kesatuan rakyat,” katanya selepas melancarkan Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Dr Taufiq turut menekankan kepentingan golongan belia meningkatkan pengetahuan yang merangkumi ilmu dunia dan akhirat bagi melahirkan pemimpin masa depan yang berkualiti, berjati diri serta berakhlak mulia.

Menurutnya, Program Rakan Masjid bertujuan mengimarahkan institusi masjid sebagai pusat pembentukan kepimpinan anak muda, bukan sahaja dari aspek kepimpinan malah turut melibatkan pembangunan sahsiah dan pengetahuan agama.

Tambah beliau, program peringkat negeri itu berjaya menghimpunkan kira-kira 600 hingga 700 peserta muda dari pelbagai daerah dengan pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk pertandingan menulis khat, azan, hafazan serta sesi tausiah.

Sehubungan itu, Dr Taufiq berkata kementeriannya akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi memastikan program seumpama itu dapat dilaksanakan sepanjang tahun dan tidak terhad pada bulan Ramadan sahaja.

“Selain itu, kementerian turut menyediakan pelbagai geran kepada jawatankuasa belia bagi membolehkan program kepimpinan dan aktiviti di peringkat akar umbi, khususnya melibatkan institusi masjid, dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

 

 

Must Watch Video