SEPANG: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook belum menerima sebarang laporan berhubung insiden kekecohan dicetuskan seorang menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 semalam.

Menurut beliau, pihak berkuasa lapangan terbang akan membuat siasatan terperinci mengenai kekecohan yang berlaku.

“Saya belum dapat apa-apa laporan lanjut berkenaan insiden itu, saya rasa pihak berkuasa lapangan terbang akan membuat siasatan terperinci apa yang berlaku.

“Sudah tentu protokol keselamatan kena patuh, apa pun kita serah kepada pihak berkuasa penerbangan untuk buat siasatan terperinci,” katanya ketika sesi sidang akhbar pelancaran MYAirline Double Take-Off di KLIA Terminal 2 pada Jumaat.

Pada 29 Jun, seorang menteri yang didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa KLIA bagi menyelamatkan seorang warga China ditahan masuk ke Malaysia.

Menteri itu yang mendapat tahu mengenai tahanan wanita warga China telah ke KLIA dan memasuki balai ketibaan tanpa memohon pas. - Sinar Harian