MALAYSIA
Bencana Sabah: SAR digesa beri tumpuan penuh selamatkan mangsa tanah runtuh, banjir – TPM Zahid

JPBN Sabah akan bertindak segera bagi membantu mangsa bencana di enam daerah yang terkesan dengan banjir dan tanah runtuh. - Foto JBPM
KUALA LUMPUR: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang digerakkan oleh agensi tindak balas digesa untuk memberi tumpuan penuh kepada usaha mengesan serta mengeluarkan mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh selain menyelamatkan mangsa banjir di Sabah.
Ringkasan AI
- Operasi SAR di Sabah dipergiat bagi mengesan mangsa tanah runtuh dan membantu mangsa banjir di enam daerah terjejas, dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk JKR, JPS, SESB dan Jabatan Air Sabah.
- Kerajaan pusat dan negeri menyalurkan RM21 juta untuk pembaikan segera infrastruktur dan bantuan kepada mangsa, termasuk pemulihan bekalan elektrik dan air bersih.
- Sabah catat jumlah PPS tertinggi dengan sembilan pusat dibuka, diikuti Perak, Selangor dan Negeri Sembilan; orang ramai diingatkan bersedia dengan beg kecemasan dan patuhi arahan keselamatan.
“Usaha pembersihan runtuhan, penstabilan cerun dan pembaikan segera sedang dipergiat dengan sasaran dapat membuka semula laluan dua hala penuh. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah juga sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan mitigasi bagi mengurangkan risiko limpahan air.
“Dalam aspek pemulihan utiliti, Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) telah diarahkan untuk segera menyambung semula bekalan elektrik yang terjejas, manakala Jabatan Air Sabah bersama kontraktor sedang melaksanakan langkah segera bagi memulihkan bekalan air bersih kepada penduduk.
“Semua usaha ini diselaras di bawah JPBD (daerah) bagi memastikan pemulihan infrastruktur dan utiliti kritikal dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya pada hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan sebanyak RM11 juta telah disalurkan melalui kerajaan negeri Sabah, manakala kerajaan pusat meluluskan tambahan RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma). Dana itu akan digunakan bagi pembaikan segera kemudahan asas dan disalurkan terus kepada mangsa banjir.
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, menurut laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana Negara (NDCC) NADMA setakat 4.30 petang, tiga lagi negeri turut terkesan dengan banjir iaitu Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.
Setakat ini Sabah mencatatkan jumlah pembukaan PPS tertinggi iaitu sebanyak sembilan buah di enam daerah, diikuti Perak dan Selangor masing-masing dengan dua PPS, manakala Negeri Sembilan dengan satu PPS.
“Saya mendoakan agar semua negeri yang ditimpa musibah banjir ini akan segera pulih dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa dalam masa terdekat.
“Saya akan meminta pihak Nadma selaku urus setia kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) supaya terus memantau segala usaha daripada pihak kerajaan serta kerjasama pihak NGO bagi membantu kesinambungan kehidupan yang lebih baik kepada mangsa selepas bencana banjir ini.
“Orang ramai adalah diingatkan bersedia dengan beg kecemasan; segera berpindah ke PPS yang disediakan apabila diarahkan; pergi ke tempat tinggi dan selamat; jangan biarkan kanak-kanak bermain air di kawasan banjir, longkang, lombong, badan air dan sungai; dan jangan sentuh peralatan elektrik, kabel atau wayar,” katanya lagi.
Ahmad Zahid berkata, NDCC yang beroperasi 24 jam setiap hari akan sentiasa memantau situasi cuaca, dan amaran bencana akan disalurkan kepada Agensi Tindak Balas dan Pegawai Daerah dari semasa ke semasa.
Untuk mengetahui laporan terkini dan sahih berkaitan bencana, beliau berkata, orang ramai boleh layari www.portalbencana.nadma.gov.my
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami