LAHAD DATU: Seorang lelaki bertindak menetak bapa saudaranya sehingga mati selepas ditegur kerana sering memarahi ibu kandungnya.

Dalam kejadian di Kampung Tradisi Desa Kencana, di sini, sekitar jam 1 tengah hari semalam, mangsa maut selepas ditetak di kepala menggunakan sabit pemotong sawit.

Suspek yang berusia 24 tahun berjaya ditahan polis yang menjalankan siasatan sejurus selepas menerima laporan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, mangsa dikenali sebagai Samak Hassan berusia 55 tahun, seorang warga asing yang bekerja di daerah ini tanpa dokumen sah.

Katanya, siasatan lanjut mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada suspek yang tidak puas hati dengan mangsa kerana pernah menegurnya sebelum ini.

“Kejadian disaksikan seorang wanita yang sedang membasuh pakaian di kawasan berhampiran apabila suspek dilihat tiba-tiba menetak mangsa dari belakang.

“Suspek dikatakan menetak kepala mangsa menggunakan sabit pemotong buah sawit yang dibawanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, saksi yang ketakutan terus melarikan diri dari lokasi kejadian dan satu laporan polis dibuat oleh salah seorang penduduk kampung.

Sementara itu, Sapii berkata, siasatan di tempat kejadian dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu mendapati, mangsa meninggal dunia dengan kesan tetakan serta luka di kepala, leher dan badan.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi tujuan proses bedah siasat.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di sebuah ladang sawit dan berjaya menahan suspek.

Turut dirampas pakaian yang digunakan ketika kejadian dan suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif jenis methapetamine.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan,” katanya.