KOTA TINGGI: Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan mematuhi papan tanda amaran ketika memandu di laluan Felda Sungai Mas menghala ke Lok Heng di sini susulan kejadian tanah runtuh di jalan berkenaan semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata jalan itu bagaimanapun masih selamat untuk dilalui, kerana ia melibatkan runtuhan kecil di kawasan berkenaan.

"Jalan yang terlibat merupakan jalan 'dalam' yang menghubungkan Felda Sungai Mas ke Lok Heng, jalan itu juga digunakan sebagai jalan pintas untuk ke Sedeli dan Bandar Penawar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah menghubungi Jabatan Kerja Raya Kota Tinggi bagi memaklumkan perkara berkenaan.

Terdahulu tular video di laman sosial berdurasi satu minit memaparkan runtuhan bahu jalan di laluan berkenaan berikutan aliran air sungai yang deras susulan hujan lebat.

-- BERNAMA