Barisan Nasional mahu rakyat Kelantan memberi peluang kepada parti itu untuk membuktikan keberkesanan pentadbirannya membawa perubahan ke negeri itu bagi tempoh sepenggal melalui Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, pengundi di negeri Cik Siti Wan Kembang itu berhak memilih semula PAS dalam PRU yang ke-14 sekiranya BN gagal melaksanakan perubahan dalam tempoh mandat tersebut.

"Saya fikir ada baiknya bagi peluang kepada BN. Selepas lima tahun, kalau tidak bagus tukar semula," kata Muhyiddin kepada media di Kota Bharu, pada Khamis.

Muhyiddin menyifatkan kuasa penentu sepenuhnya ada di tangan rakyat Kelantan.

"Tapi kami (BN) mahu buktikan yang kami boleh buat (perubahan) dan kami mahu bantu rakyat Kelantan," ujar Muhyiddin.

Lawatan Muhyiddin ini dibuat 11 hari selepas kunjungan sama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kelantan.

Dalam lawatan pada 20 Januari itu, Najib mengumumkan tujuh projek besar bernilai lebih RM2 bilion yang bakal dilaksanakan bagi memajukan Kelantan.

Antaranya, pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu, perumahan rakyat serta sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu dan projek menyelesaikan masalah air.

Tujuh projek itu akan terkandung dalam manifesto BN untuk Kelantan.