PUTRAJAYA:Pemberian secara ''one-off" sebanyak RM500 akan diberikan kepada pemandu teksi dan bas bagi meringankan beban berdepan impak COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemberian itu akan memberi manfaat kepada 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing dengan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta.

"Selain itu, kerajaan kini memberi layanan pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama tujuh tahun.

"Sukacita dimaklumkan, bahawa syarat ini dilonggarkan kepada lima tahun mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2021," katanya.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, pemberian "one-off" sebanyak RM500 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan, manakala sebanyak RM300 kepada petugas barisan hadapan lain akan  mula dibayar pada suku tahun pertama tahun ini.

“Manakala bayaran bulanan sedia ada yang diterima sebanyak RM600 oleh petugas barisan hadapan kesihatan dan RM200 oleh petugas barisan hadapan yang lain akan tetap diteruskan sehingga wabak COVID-19 ini berakhir,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) 
melibatkan peruntukkan bernilai RM15 bilion dalam usaha memulihkan ekonomi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.