ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 29 Ogos 2026.
Vokalis BPR, Joey meninggal dunia pada usia 63 tahun
Penyanyi dan vokalis kumpulan rock terkenal Bumiputra Rockers (BPR), Joey atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi, meninggal dunia pada usia 63 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pagi Sabtu.
Azizulhasni perincikan kelayakan LA28 dalam sembilan muka surat
Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang tampil dengan penjelasan sembilan muka surat bagi memperincikan proses kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), selain menjelaskan pendiriannya mengenai masa depan kariernya.
Tujuh lelaki Yemen ditahan pandu kereta secara berbahaya di Jalan Sungai Besi
Polis menahan tujuh individu warga Yemen bagi membantu siasatan kes dua kereta dipandu secara berbahaya di Jalan Sungai Besi tengah malam Jumaat.
Serangan dua anjing ketika joging, pemilik diperintah bayar RM248,457
Seorang pemilik dua anjing German Shepherd diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen pada Jumaat, supaya membayar RM178,457.60 ganti rugi khas dan RM70,000 ganti rugi am berhubung serangan haiwan itu sehingga menyebabkan jirannya mengalami patah tulang belakang, lima tahun lalu.
Kes tiga beranak maut: Tikaman di leher punca kematian - Polis
Punca kematian tiga sekeluarga yang ditemukan maut di sebuah kondominium di Desa ParkCity, Kepong Khamis lepas disebabkan tikaman di leher.
Jerebu: Kes asma, konjunktivitis meningkat - KKM
Kes asma di negara ini dilaporkan meningkat lebih lapan kali ganda, susulan kualiti udara yang merosot akibat jerebu yang melanda beberapa kawasan di seluruh negara ketika ini.
Banjir Nepal: Waris rayu Wisma Putra salur maklumat harian, selaras rekod mangsa hilang
Ahli keluarga rakyat Malaysia yang hilang dalam kejadian banjir kilat di Nepal merayu Kementerian Luar (Wisma Putra) dan perwakilan diplomatik berkaitan untuk menyediakan kemas kini rasmi mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekurang-kurangnya sekali sehari.
- Seludup warga China: Imigresen dapatkan maklumat pihak berkuasa Thailand
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung dakwaan kewujudan sindiket penyeludupan warga China dari Kemboja ke Malaysia melalui negara jiran itu.
- Banjir Nepal: Taklimat bersama dengan keluarga mangsa hilang diadakan esok - Mohamad
Satu sesi pertemuan dan taklimat akan diadakan pada Ahad (30 Ogos) bersama dengan keluarga rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan banjir kilat dahsyat dan insiden tanah runtuh di Daerah Rasuwa, Nepal.
- Kembar siam Muhammad yang dipisahkan di Arab Saudi, meninggal dunia pagi tadi
Muhammad Rosli, seorang daripada pasangan kembar siam yang berjaya dipisahkan menerusi pembedahan di Arab Saudi pada 2002, meninggal dunia pada 10.45 pagi Sabtu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras.