ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa, 8 September 2020.


1) 'Cuba kau masuk kampung pedalaman' - Abang Veveonah cabar dua Timbalan Menteri

"Cuba kau masuk kampung pedalaman," itu cabaran dilontarkan abang Veveonah Mosibin kepada dua Timbalan Menteri yang mendakwa adiknya berbohong demi meraih publisiti.

Menerusi muat naik status di Facebook peribadinya, Mekvin Mosibin mahu Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Datuk Abdul Rahim Bakri turun sendiri ke perkampungan untuk melihat realiti sebenar kehidupan penduduk di sana.


2) Pembubaran DUN Sabah: Mahkamah Rayuan tolak rayuan Musa Aman dan 32 ADUN

Mahkamah Rayuan pada Selasa menolak rayuan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak Tan Sri Musa Aman, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Istana Kehakiman di sini petang ini.


3) Suami pukul isteri, anak, ugut simbah petrol selepas ditegur bising

Seorang lelaki sanggup memukul isteri dengan penyapu serta mencekik anak perempuannya yang berusia sembilan tahun dipercayai kerana berang apabila ditegur bising di dalam rumah.

Suspek berusia 45 tahun itu turut mengugut untuk menyimbah petrol dan membakar isterinya jika ditegur sekali lagi


4) 'Tell Me, Kenyalang', karya terjemahan anak Sarawak dapat perhatian di Amerika Syarikat

Pengarang kelahiran Sarawak, Royston John Kulleh dengan nama pena Kulleh Grasi sekali lagi berjaya mengangkat karyanya, ‘Tell Me, Kenyalang’ ke persada antarabangsa apabila tersenarai dalam Anugerah Terjemahan Antarabangsa (NTA) Puisi dan Prosa yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Sebelum ini, menerusi karya sama, Royston juga pernah menempatkan karya tersebut di dalam senarai The Best Translated Book Awards 2020 (BTBA), the Amazon Literary Partnership, juga di AS.


5) Kes baharu COVID-19 melonjak kepada tiga angka, ini intipati penting sidang media KKM

Perkembangan terkini mengenai situasi COVID-19 di negara ini menunjukkan lonjakan kes baharu direkodkan setakat 12 tengah hari pada Selasa.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sebanyak 100 kes baharu dicatatkan hari ini, meningkat berbanding 62 kes pada hari sebelumnya.


6) Bapa kanak-kanak pandu treler direman dua hari

Bapa kepada seorang kanak-kanak lelaki yang tular di aplikasi WhatsApp kerana membenarkan anaknya berusia 11 tahun memandu treler, direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, dalam kenyataan ringkas pada Selasa, berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan semalam oleh anggota polis di Rantau, dekat sini.


7) Sultan Selangor titah rumah, kilang di tebing sungai dirobohkan

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mahu tindakan penguatkuasaan lebih tegas diambil bagi memastikan rumah serta kilang terutama kilang haram berhampiran tebing sungai dirobohkan.

Dalam surat kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, baginda menyifatkan kilang haram tersebut berpotensi mencemari anak sungai dan sungai di negeri itu.


8) 'Veveonah tidak menipu, dia memang ambil peperiksaan dalam talian' - Masidi

Pengerusi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Datuk Seri Masidi Manjun mengesahkan Veveonah Mosibin tidak menipu dan sememangnya mengambil peperiksaan akhir secara dalam talian.

Ahli Dewan Undangan Negeri Karanaan itu berkata, beliau sendiri telah berjumpa dengan Timbalan Naib Canselor dan Pengarah Asasi Sains UMS untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai perkara itu.


9) Tentera Darat serah siasatan kematian anggotanya kepada PDRM

Tentera Darat Malaysia (TDM) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan siasatan insiden kematian yang melibatkan anggotanya, Abdul Aziz Aznam pada 6 September lalu.

Menurut TDM dalam satu kenyataan media pada Selasa, pihaknya sentiasa terbuka dan akan terus memberikan kerjasama serta bantuan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membantu siasatan.


10) Gangguan air: 1,253 kawasan pulih sepenuhnya, 39 lagi kawasan dalam proses pemulihan

Sebanyak 39 kawasan di wilayah Klang/Shah Alam, Gombak, Petaling dan Kuala Lumpur masih dalam proses pemulihan akibat gangguan bekalan air setakat jam 6.30 petang ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata peratusan pemulihan air di Gombak adalah 99.27 peratus, Petaling (98.36 peratus), Klang/Shah Alam (85.31 peratus) manakala Kuala Lumpur 97.57 peratus.