ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 5 Oktober 2020.

1) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri positif COVID-19

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjadi pemimpin negara terbaharu yang disahkan positif pandemik COVID-19.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook peribadinya, Dr Zulkifli berkata, beliau kini menjalani rawatan.

2) COVID-19: 432 kes baharu, jumlah kes harian paling tinggi setakat ini di Malaysia

Malaysia mencatatkan kes positif COVID-19 baharu tertinggi setakat ini dengan 432 kes, pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 429 kes adalah penularan dalam negara yang melibatkan 409 warga tempatan dan 20 rakyat asing.

3) COVID-19: Tiga lagi kluster baharu dikesan di Kedah, Terengganu

Tiga lagi kluster baharu COVID-19 dikesan di Kedah dan Terengganu dengan dua daripadanya melibatkan kes indeks warga Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, dua kluster di Kedah adalah Kluster Bah Sintok yang sudah menjangkiti 11 individu dan Kluster Jeram melibatkan tiga petugas kesihatan.

4) COVID-19: Kes meningkat tiga angka, semua sekolah dan IPT di Sabah diarah tutup - Hajiji

Kerajaan negeri Sabah memutuskan menutup semua sekolah di negeri ini termasuk taska, pusat jagaan dan taman asuhan berkuat kuasa hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata keputusan itu dibuat selepas angka bilangan kes positif COVID-19 di negeri itu meningkat kepada tiga angka.

5) Perdana Menteri jalani kuarantin kendiri susulan Dr Zulkifli positif COVID-19

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan akan menjalani kuarantin kendiri di kediaman beliau selama 14 hari mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri, berkata, keputusan itu diambil susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif COVID-19 hari ini.

6) 1 Utama sahkan pekerja Mac City positif COVID-19

Kompleks beli-belah, 1 Utama mengesahkan seorang kakitangan Mac City Service Centre didapati positif COVID-19.

Pihak pengurusan 1 Utama dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan kakitangan berkenaan tidak berkunjung ke pusat beli-belah itu sejak 30 September lalu, dan telah dimasukkan ke sebuah hospital kerajaan untuk rawatan.

7) Istana Negara beri amaran kepada penyebar berita palsu guna foto Agong

Istana Negara tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama atau membabitkan Yang di-Pertuan Agong dan institusi tersebut untuk menyebarkan berita palsu demi kepentingan politik atau peribadi.

8) PKPB di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan bermula Rabu - Ismail Sabri

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini bersetuju melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan di Sabah berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam 7 Oktober.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan keluar masuk di ketiga-tiga kawasan PKPB ini adalah tidak dibenarkan.

9) Krisis air Selangor: Bahan buangan ditemui di lokasi punca pencemaran Sungai Semenyih

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengesahkan kawasan belukar di pinggir kawasan industri, Jalan Emas, Negeri Sembilan merupakan lokasi punca pencemaran bau di loji pembersihan air (LPA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sejumlah bahan buangan dan sebatian organik telah dijumpai.

10) Kannamma sudah sampai Malaysia?

SIapa sangka watak seorang wanita yang dikenali sebagai 'Kannamma' kini menjadi viral di Malaysia susulan satu adegan dalam drama bersiri Tamil itu.