MALAYSIA
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Daripada pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
DARIPADA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa, 12 Januari 2021.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.
Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan, proklamasi darurat yang diisytihar bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera, dan perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.
Beliau berkata, tindakan itu bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 seperti mana yang terjadi selepas PRN Sabah baru-baru ini.
Satu Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan bagi menjamin pelaksanaan darurat adalah adil dan telus.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa itu juga berperanan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan badan kehakiman akan terus berfungsi ketika pelaksanakan Proklamasi Darurat dijalankan.
Malah tegas Muhyiddin, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah.
Proklamasi Darurat yang dilaksanakan boleh memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memasyhurkan ordinan penggunaan sumber manusia dan aset hospital swasta bagi membantu kerajaan membendung wabak COVID-19.
Pasangan suami isteri yang tinggal secara jarak jauh tidak terkecuali daripada dikenakan larangan merentas negeri.
Sehubungan itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengharapkan pasangan suami isteri yang terlibat dapat bersabar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertimbangkan untuk menaikkan kadar kompaun bagi mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pertimbangan kenaikan kadar kompaun itu bagi memastikan tiada kesalahan berulangan berlaku khususnya membabitkan pusat-pusat hiburan.
Malaysia merekodkan kes harian tertinggi dengan mencatatkan sebanyak 3,309 kes pada Selasa.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan jumlah itu menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 141,533.
Cuti semua pegawai dan anggota polis di seluruh negara dibekukan serta-merta berikutan peningkatan kes COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berkuat kuasa tengah malam ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami