KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sehingga 1 Ogos depan bukan satu bentuk rampasan kuasa tentera, sebaliknya sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Beliau turut memberi jaminan bahawa tiada perintah berkurung akan dilaksanakan sepanjang tempoh darurat itu.

"Ingin saya tegaskan bahawa darurat diisytiharkan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bukan satu bentuk rampasan kuasa tentera, perintah berkurung tidak akan dilaksanakan.

"Sebaliknya, kerajaan awam akan terus berfungsi, let me asure you that civilian government continue to function. The Emergency proclaim by Yang di-Pertuan Agong it's not millitary coup and curfew will not be enforce," katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri pada Isnin.

Tambah Muhyiddin, Jemaah Menteri dan Majlis Kerajaan Negeri akan terus berfungsi seperti biasa dalam tempoh darurat dilaksanakan.

"Jemaah menteri dan majlis kerajaan negeri akan terus berfungsi menurut Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa ordinan dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong dari masa ke semasa.

"Saya beri jaminan jentera pentadbiran dan perkhidmatan awam kerajaan pusat dan negeri tidak akan tergangu dengan pengisytiharan darurat," katanya lagi.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

BACA: Agong perkenan isytihar darurat hingga 1 Ogos

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.