ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 27 Mei 2022.

1. 18 kawasan di Sabak Bernam alami gangguan bekalan air

Sebanyak 18 kawasan di daerah ini mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan berlakunya paip pecah berhampiran sebuah restoran di Jalan Sungai Panjang Kampung Belia 2, Sungai Besar pada Khamis.

2. Isu kekurangan bekalan ayam dijangka selesai bulan depan - Timbalan Menteri

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan isu kekurangan bekalan ayam di pasaran dapat diselesaikan pada Jun.

3. Nilai ringgit: Ku Li saran perbaiki pasaran tukaran mata wang asing

Kerajaan perlu mengatasi krisis ringgit dengan menumpukan kepada pembaikan pasaran tukaran mata wang asing bagi menyelamatkan ekonomi negara daripada terus merosot sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

4. Anggota polis didakwa terima sogokan, dorongan tutup kes

Seorang annggota polis berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM16,000 pada Februari lalu.

5. Rosmah gagal batalkan kes rasuah, gugurkan Sri Ram sebagai pendakwa

Datin Seri Rosmah Mansor gagal dalam usaha terakhir untuk membatalkan perbicaraan kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid bernilai lebih RM1.25 bilion di Sarawak dan untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada menjadi ketua pasukan pendakwaan dalam kes tersebut.

6. Perang di Ukraine hanya gangguan sementara - Khairy

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, melihat situasi perang di Ukraine sebagai satu gangguan yang bersifat sementara dan tidak akan membawa sebarang perubahan.

7. Polis selamatkan dua beradik disyaki mangsa dera, tahan ibu dan nenek saudara

Polis Pulau Pinang menyelamatkan dua beradik masing-masing berusia tiga dan lima tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu dan nenek saudaranya hari ini.

8. PM bertemu Tun M di Tokyo, tanya khabar

Meskipun berbeza ideologi politik namun 'perseteruan' itu tidak memutuskan hubungan peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

9. Ahli perniagaan gagal kembalikan saman terhadap Najib, Rosmah dan tiga yang lain

Ahli perniagaan J.R Deepak Jaikishan dan dua lagi gagal dalam usaha mereka untuk mengembalikan semula saman yang difailkan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan tiga yang lain berhubung dakwaan konspirasi yang menyebabkan mereka mengalami kerugian.

10. Inisiatif Saringan Kesihatan Nasional dilancar julai untuk kesan penyakit tidak berjangkit - Khairy

Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan inisiatif Saringan Kesihatan Nasional bulan Julai ini bagi mengesan kes-kes penyakit yang tidak berjangkit (NCD) dalam negara, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.