ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 16 September 2022.

1. PM Ismail Sabri ucap selamat Hari Malaysia, mahu sambutan jadi pemangkin perpaduan rakyat

Perdana Menteri mendoakan supaya Keluarga Malaysia terus menjunjung semangat integrasi nasional, kesetiaan kepada raja dan negara serta Malaysia terus dipelihara dalam keamanan dan kemakmuran.

2. Kapal LCS: Tarikh penghantaran bercanggah, siapa bercakap benar? Soal Syed Saddiq

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar menyatakan tarikh sebenar penghantaran kapal tempur pesisir (LCS) kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

3. Agong, Raja Permaisuri berangkat ke UK beri penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II

Lawatan khas Al-Sultan Abdullah bagi memenuhi jemputan rasmi kerajaan UK selama enam hari bermula hari ini, diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

4. Bayaran BKM Fasa 3, rayuan mulai 20 September ini - Ismail Sabri

Pembayaran Fasa 3 dan rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai 20 September ini secara berperingkat dan dijangka selesai pada 27 September.

5. Tiga maut, motosikal bergesel sebelum dilanggar bas ekspres

Tiga lelaki pekerja ladang maut dan seorang wanita parah selepas dua motosikal yang ditunggang mereka bergesel dan tumbang sebelum dilanggar sebuah bas ekspres di Jalan Julau, Batu 12, Bintangor.

6. Pesara tembak isteri sebelum tembak diri sendiri

Seorang warga emas bertindak menembak mati isterinya sebelum menembak dirinya sendiri dalam satu kejadian di belakang rumah pasangan itu di Kampung Labu, Jerantut.

7. Mendiang Samy Vellu selamat disemadikan

Jasad bekas Presiden MIC Tun S Samy Vellu selamat disemadikan di Krematorium Jalan Kuari, Cheras di sini kira-kira pukul 5.40 petang tadi.

8. Kenyataan Hadi akan diadu kepada kesatuan ulama dunia - Salahuddin

Parti Amanah Negara (Amanah) akan membuat aduan kepada Kesatuan Ulama Islam Sedunia berkenaan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sewenang-wenangnya melabelkan orang lain tidak beriman.

9. Kes Bukit Cerakah: Peka akan failkan prosiding hina mahkamah terhadap kontraktor

Dua badan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar iaitu Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan Shah Alam Community Forest Society (SACF) akan memfailkan prosiding menghina mahkamah terhadap pemaju yang menjalankan kerja-kerja tanah di Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC).

10. Hari Malaysia: Pegang nilai Keluarga Malaysia hadapi anasir jahat - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, nilai-nilai Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran harus terus dipegang bagi membina kekuatan dalam menghadapi cabaran dan gelombang arus globalisasi.