KUALA LUMPUR: Dua badan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar iaitu Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan Shah Alam Community Forest Society (SACF) akan memfailkan prosiding menghina mahkamah terhadap pemaju yang menjalankan kerja-kerja tanah di Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC).

Menurut Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Damien Thanam Divean, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapati terdapat kerja-kerja tanah yang masih dijalankan meskipun mahkamah telah mengeluarkan injunksi sementara di kawasan berkenaan.

"Setelah kami memfailkan semakan kehakiman pada 4 Ogos 2022, mahkamah telah memberikan injunksi sementara untuk memulangkan status kawasan 406.22 hektar di Bukit Cerakah kepada Hutan Simpan Kekal.

"Ini bermakna agensi teknikal yang sepatutnya menguatkuasakan kawasan ini ialah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

"Walau bagaimanapun, di salah satu kawasan iaitu petak 35 mendapati ada aduan daripada orang awam dan penduduk tinggal di sekeliling kawasan tersebut yang kontraktor masih menjalankan kerja kerja tanah," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Pemerhatian Astro AWANI mendapati tiada aktiviti kerja tanah berlangsung pada Jumaat. Gambar: Astro AWANI

Tambah Damien, pihaknya telah mengumpul segala bukti berkenaan dan akan diserahkan kepada mahkamah.

Mengulas lanjut ujar Damien, Peka telah ke kawasan berkenaan dan memberi maklum berhubung injunksi sementara dikeluarkan kepada kontraktor berkenaan.

"Kami telah pergi memberikan salinan injunksi interim tersebut kepada kontraktor terlibat tapi wakil syarikat itu tidak mengambil dan tidak mahu menerima.

"Walau bagaimanapun kontraktor tersebut telah memohon menjadi pencelah dalam semakan kehakiman ini dan kami percaya syarikat ini tahu yang ada injuksi sementara bermakna mereka tidak boleh membuat apa apa kerja.

Menurut Presiden Peka, injuksi sementara telah dikeluarkan mahkamah di kawasan berkenaan. Gambar: Astro AWANI

"Daripada siasatan kami, kami dapat bukti yang kerja-kerja tanah masih dilakukan di kawasan tersebut dan kami telah mengarahkan pihak peguam kami untuk memfailkan prosiding menghina mahkamah dalam tempoh beberapa hari pada minggu akan datang," jelasnya lagi.

Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di lokasi berkenaan tidak kelihatan aktiviti kerja tanah pada Jumaat.

Pemerhatian mendapati hanya terdapat sebuah ekskavator diparkir di lokasi terbabit.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika mengulas mengenai isu HSKBC berkata, kerajaan negeri berdepan risiko disaman sekiranya tidak meneruskan siar warta status hutan simpan berkenaan yang dinyahwartakan sebelum ini.

Jelasnya, kerajaan negeri meneruskan siar warta untuk menyahwartakan HSKBC pada 5 Mei lalu bagi melengkapkan proses penyahwartaan yang terhenti sekitar tahun 2006.

Bagaimanapun jelasnya, sekiranya pemasyhuran atau siar warta itu tidak dibuat, kerajaan negeri ujarnya lagi akan berdepan tindakan saman oleh syarikat berkenaan kerana melibatkan kehilangan peluang perniagaan yang telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada pentadbiran lepas.