NATIONAL

Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani 05/05/2025 | 15:59 MYT
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 5 Mei 2025.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 5 Mei 2025.
1. Kemungkinan tarif AS terhadap Malaysia dikurangkan - PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana kerajaan AS telah bersetuju untuk berunding lebih lanjut dengan Malaysia.
2. Tarif AS: Jaminan kerajaan RM1 bilion, dana pembiayaan mudah RM500 juta - PM
Kerajaan bersetuju meningkatkan jaminan kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), khusus untuk membantu pengeksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat tarif Amerika Syarikat (AS) bagi mendapatkan pinjaman daripada bank komersial.
3. Maybank umum penyelenggaraan sistem berjadual 10 dan 17 Mei ini
Beberapa perkhidmatan utama seperti ATM dan perkhidmatan perbankan dalam talian akan mengalami gangguan sementara.
4. Buli di GiatMARA kes lama, sudah selesai - Exco
Kejadian berlaku pada Februari lepas, namun baru ditularkan dan berdasarkan siasatannya, pelajar yang terlibat sudah dipanggil oleh MARA.
5. Tarif Trump: MITI ambil alih pengeluaran sijil eksport kepada AS mulai esok
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menjadi satu-satunya pihak yang diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) bagi tujuan eksport ke Amerika Syarikat (AS), berkuat kuasa 6 Mei.
6. Kehilangan Pamela Ling: Peguam persoal tindakan SPRM, polis
Peguam, Sangeet Kaur Deo mempersoalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama ada agensi antirasuah itu telah memfailkan laporan orang hilang berikutan ketidakhadiran Pamela Ling Yueh untuk memberi kenyataan serta kegagalan menghubunginya.
7. Tengku Mahkota Kelantan dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor UMK
Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkuat kuasa Isnin.
8. Dapatan tidak konklusif, pakar forensik gagal tentukan kesahihan tandatangan Najib
Mahkamah Tinggi diberitahu terdapat beberapa persamaan dan perbezaan pada tandatangan didakwa milik Datuk Seri Najib Tun Razak dalam dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menjadikan dapatan berhubung perkara itu tidak konklusif.
9. 7 realiti baharu ekonomi dunia yang Malaysia tidak boleh abaikan - Pakar
Menurut Presiden Akademi Profesor Malaysia, Profesor Emeritus Jamal Othman, krisis global, kepimpinan berwibawa, dan peralihan kuasa ekonomi sedang mencorak lanskap baharu yang tiada dalam dekad lalu.
10. Datuk ditahan sekali lagi kemuka butir matan palsu RM450 juta
Lelaki bergelar Datuk yang dibebaskan daripada tahanan reman Sabtu lepas sekali lagi direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu membabitkan kira-kira RM450 juta.
#berita tumpuan #berita utama #berita tempatan #berita pilihan