MALAYSIA

Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani 17/10/2025 | 15:59 MYT
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 17 Oktober 2025.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 17 Oktober 2025.

1. Polis Pulau Pinang gerakkan URB, MPV ronda di sekolah dan asrama

Polis Pulau Pinang akan menggerakkan Unit Rondaan Bermotosikal dan kereta peronda polis ke kawasan sekolah terutamanya sekolah berasrama dalam usaha mencegah kes buli dalam kalangan pelajar sekolah, menurut Ketua Polis Negeri Datuk Azizee Ismail.


2. Ustazah Asni Mansor kembali bergelar isteri, lelaki Palestin jadi pilihan teman hidup

Pendakwah terkenal, Ustazah Asni Abu Mansor, 49, mengumumkan beliau telah bernikah dengan Mounir Abdul Kareem Kaddoura, seorang lelaki berketurunan Palestin yang juga warganegara Amerika Syarikat.


3. Pempengaruh media sosial, Rambo Castello meninggal dunia di Jogjakarta

Pempengaruh media sosial, Ahmad Radzli Che Ngah, 59, juga dikenali sebagai Rambo Castello, seorang kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah Jeli, meninggal dunia jam 2.38 pagi Jumaat waktu Indonesia selepas ditidurkan di Rumah Sakit Sardjito, Jogjakarta sejak 5 Okt lalu akibat serangan jantung.


4. Suasana pilu iringi penghormatan terakhir mendiang Yap Shing Xuen

Suasana di Nirvana Centre Kuala Lumpur bertukar hiba apabila rakan-rakan sekolah mendiang Yap Shing Xuen, pelajar yang maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama hadir memberikan penghormatan.


5. Kerajaan pertimbang beri kelonggaran guru laksana hukuman rotan – PM Anwar

Kerajaan terbuka untuk memberi kelonggaran kepada guru melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar bermasalah, namun tertakluk kepada syarat dan garis panduan yang ketat.


6. Isu dokumentasi: Setiausaha Agung FAM digantung tugas serta-merta

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman digantung tugas berkuat kuasa serta-merta hari ini susulan siasatan berhubung proses naturalisasi tujuh pemain kebangsaan.


7. Pelajar UM maut jatuh dari bangunan kolej kediaman

Seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) disahkan meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh dari salah satu bangunan kolej kediaman universiti itu, kira-kira jam 3.30 petang tadi.


8. Harimau Malaya kini ranking ke-118 dunia, pintas Indonesia

Skuad bola sepak lelaki negara berjaya menembusi kelompok 120 pasukan terbaik dunia apabila menghuni tangga ke-118 dalam ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).


9. Tiada sekatan ke KL sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN - SILA

Sekretariat Induk Logistik ASEAN (SILA) memberi jaminan tiada sekatan untuk ke Kuala Lumpur ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan minggu depan.


10. Kerajaan pertimbang larangan telefon pintar untuk pelajar bawah 16 tahun

Kerajaan sedang meneliti cadangan melarang penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar berumur 16 tahun ke bawah bagi membendung pengaruh negatif media sosial dan permainan dalam talian.



#berita tempatan #berita pilihan #berita tumpuan #berita penting