Berita Terkini ASEAN25: Infrastruktur Malaysia dapat pujian global selepas video konvoi Trump jadi tular

Video dikongsi menunjukkan konvoi presiden itu bergerak dengan lancar di lebuh raya tiga lorong itu yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke ibu negara. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah berlepas dari Malaysia ke destinasi seterusnya tetapi sebuah video konvoi rombongan beliau yang melalui Lebuhraya Maju (MEX), bukan sahaja telah menarik perhatian global, malah mendapat pujian.
Ringkasan AI
- Klip 13 saat konvoi Presiden Donald Trump di Lebuhraya Maju (MEX) menuju ke Sidang Kemuncak ASEAN meraih lebih dua juta tontonan dan pujian terhadap infrastruktur Malaysia.
- Pengguna media sosial, termasuk dari AS, kagum dengan pemandangan pokok kelapa sawit dan kelancaran perjalanan konvoi, mencerminkan kebanggaan rakyat terhadap kemudahan negara.
- MEX sebagai laluan utama ke KLIA dan Putrajaya. Lebuh raya sepanjang 26km itu terus menjadi pilihan utama pelancong dan pengguna harian, menghubungkan KLIA, Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur dengan aliran trafik yang cekap.
Malaysia merupakan destinasi pertama Trump dalam lawatan beliau ke Asia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan. Hari ini, beliau dalam perjalanan ke Jepun dan seterusnya ke Korea Selatan untuk menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi APEC 2025 di bandar pesisir pantai Gyeongju, minggu ini.
Video pendek oleh Margo itu tular di pelbagai platform media sosial dengan pengguna memuji infrastruktur lebuh raya Malaysia yang moden dan pemandangannya yang indah.
"Jika beliau menuju ke Kuala Lumpur dari lapangan terbang, beliau akan melalui banyak pokok kelapa sawit. Ia sungguh menarik apabila melihat terdapat banyak pokok kelapa sawit yang seperti hampir tiada penghujungnya!" ujar seorang lagi pengguna dari AS, Neesie.
Malaysia mempunyai infrastruktur jalan raya yang baik merupakan antara ulasan yang paling banyak diterima.
"Konvoi yang epik, pemandangan yang baik dan saya cintakan negara saya," luah rakyat Malaysia dengan rasa bangga menerusi media sosial masing-masing.
Lebuhraya MEX, secara rasmi mula beroperasi pada 13 Dis 2007, merupakan lebuh raya sepanjang 26 kilometer dan menjadi laluan utama yang menghubungkan Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya dan KLIA.
Dibangunkan untuk aliran trafik yang lancar dan cekap, MEX terus menjadi laluan pilihan kepada pelancong yang berulang-alik antara destinasi utama ini.
Bagi kebanyakan pengguna di Lembah Klang, ia hanyalah satu lagi pemanduan harian biasa tetapi video Margo telah mengingatkan kita untuk terus menghargai keindahan di tempat sendiri.
Ia juga memberi rakyat Malaysia sebab untuk berasa bangga terhadap kemudahan jalan raya di negara ini.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

