Berita Terkini ASEAN25: Malaysia gesa Jepun mainkan peranan lebih besar dalam pemindahan teknologi ke ASEAN

ASEAN mahu Jepun memainkan peranan lebih besar dalam bidang teknologi dan kecerdasan buatan. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN mahu Jepun memainkan peranan lebih besar dalam memacu pemindahan teknologi dan pelaburan dalam semikonduktor peringkat awal di rantau ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
"Saya berpendapat kita (ASEAN) berada pada tahap kerjasama komprehensif yang strategik dengan Jepun. Dengan Jepun, kita tidak mempunyai sebarang isu kecuali kami mahu Jepun memainkan peranan lebih besar dalam bidang teknologi dan kecerdasan buatan.
"(Dari segi) perdagangan antara ASEAN dan Jepun, saya rasa kita tiada masalah. Cuma sekarang kita mahu Jepun memainkan peranan lebih besar dalam pemindahan teknologi ke rantau ini terutamanya dengan Malaysia sebagai pengerusi (ASEAN)," katanya kepada pemberita dalam lawatannya ke Pusat Media Antarabangsa bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjelang Sidang Kemuncak ASEAN yang akan menyaksikan penampilan Perdana Menteri wanita pertama Jepun, Sanae Takaichi. Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) itu dipilih selepas LDP mencapai perjanjian dengan Parti Inovasi Jepun untuk membentuk kerajaan campuran.Mohamad berkata rantau ini mahu Jepun memainkan peranan lebih besar dan bukan sebagai pemain kedua -- melabur dalam peringkat awal terutamanya dalam sektor semikonduktor.
"Kita (Malaysia) mempunyai (perjanjian) dua hala dengan Jepun. ASEAN juga mempunyai perjanjian pelbagai hala dengan Jepun. Oleh itu, saya telah menaik taraf kerjasama kita dengan Jepun terhadap Perkongsian Komprehensif Strategik," katanya.
Jepun kekal sebagai antara rakan dagang dan pelabur terbesar ASEAN, dengan jumlah perdagangan dua hala mencapai AS$236.4 bilion tahun lepas manakala pelaburan langsung asing Jepun ke ASEAN hampir mencecah AS$18 bilion. (AS$1=RM4.22)
Ditanya mengenai pandangan Mohamad terhadap pelantikan Perdana Menteri baharu Jepun, katanya: "Amat baik. Ini adalah kali pertama Jepun mempunyai Perdana Menteri wanita."
Dilaporkan Takaichi merancang untuk bertemu rakan sejawatannya dari Malaysia dan Pengerusi ASEAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rundingan dua hala dan dijangka mengumumkan pemberian peralatan pertahanan kepada Malaysia di bawah rangka kerja Bantuan Keselamatan Rasmi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami