Berita Terkini ASEAN25: PM Anwar seru perkukuh kerjasama serantau demi Timor-Leste

PM Anwar (kanan) menyambut mesra Perdana Menteri Timor Leste, Xanana Gusmao, pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Ahad. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: ASEAN meraikan kemasukan rasmi Timor Leste sebagai anggota ke-11 komuniti serantau itu dalam satu majlis resepsi khas yang berlangsung pada Isnin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan seluruh keluarga ASEAN menyambut baik penyertaan Timor Leste sebagai rakan sejati yang berfungsi serta berkesan dalam memperkukuh kerjasama serantau.
“Kami memahami cabaran yang dilalui, harapan serta aspirasi anda. Marilah kita berganding bahu membina ASEAN ini bersama,” katanya,
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis Reception on the Occasion of Timor Leste’s Admission to ASEAN yang berlangsung pada Isnin di Kuala Lumpur Convention Center, Kuala Lumpur.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timor Leste yang komited memenuhi segala syarat dan proses penilaian bagi menyertai ASEAN meskipun ia bukan satu perjalanan mudah.
“Meski sukar pada awalnya, anda berjaya melaluinya dengan baik. Bagi pihak Malaysia dan seluruh rakan ASEAN, setinggi-tinggi penghargaan kami ucapkan,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Resepsi sempena penyertaan Timor-Leste ke ASEAN bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Majlis makan tengah hari itu turut dihadiri Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta dan Perdana Menterinya, Xanana Gusmao; Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres serta Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU), Antonio Costa.
Sabtu lalu, Timor-Leste secara rasmi menjadi negara anggota ASEAN ke-11 selepas menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Terdahulu, Gusmao menzahirkan harapan agar Asia Tenggara terus dibina sebagai sebuah komuniti yang aman, saling berhubung dan berdaya tahan, bersatu dalam matlamat bersama demi masa depan yang lebih cerah.
Penyertaan rasmi Timor-Leste ke dalam ASEAN dimeterai dengan penandatanganan deklarasi berkenaan, disaksikan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN termasuk Anwar, menandakan satu pencapaian penting bukan sahaja bagi negara muda itu, tetapi juga bagi blok serantau yang semakin berkembang.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

