Pembubaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan dijangka tidak memberi kesan kepada kempen jentera Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebaliknya berkata, Bersatu memberikan sokongan yang kuat terutamanya jentera Bersatu dalam kempen PKR untuk memenangi kerusi parlimen itu.

"Kita tidak menjangkakan begitu (pembubaran beri kesan kepada kempen PD). Ini soal organisasi dan struktur parti di peringkat negeri (tetapi) di peringkat jentera, pimpinan dan anggota Bersatu, mereka beri sokongan kuat kepada Keadilan mewakili PH untuk berada di Port Dickson," kata beliau kepada pemberita di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu juga mengharapkan agar masalah struktur dan organisasi parti Bersatu itu diselesaikan secara baik sekaligus memperkukuhkan parti berkenaan.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika mengulas mengenai sama ada pembubaran Bersatu Negeri Sembilan pada Khamis dilihat boleh menjejaskan kempen PKR di PD.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Pidato Malaysia Baharu bersama Timbalan Presiden PKR.

BACA: Bersatu Negeri Sembilan bubar, masalah dalaman antara punca - Muhyiddin

Ketika ditanya mengenai saingan hebat yang bakal dihadapi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata seperti biasa, PKR tidak mengambil mudah mana-mana PRK.

"Seperti biasa, kita tidak ambil mudah dalam mana-mana pilihan raya. Kami tidak mahu terlalu ambil mudah.

"Kita akan kerja kuat dan kita telah bincangkan strategi untuk mendekati pengundi kerana pengundi-pengundi di parlimen PD ini adalah bercampur, yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama," tambah Mohamed Azmin.

Anwar, 71, yang akan secara rasminya menjadi Presiden PKR November ini setelah menang tanpa bertanding, dijangka menghadapi pertandingan lima penjuru pada PRK 13 Okt ini.

Setakat ini, lima calon termasuk Anwar telah menyatakan hasrat untuk bertanding kerusi panas tersebut termasuk calon PAS Leftenan Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan dua calon bebas iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan personaliti media sosial, Stevie Chan serta calon Parti Rakyat Malaysia Ahmad Kamarudin.

Hari penamaan calon PRK PD akan diadakan hari ini.

-- BERNAMA