KUALA LUMPUR: Orang ramai perlu bersiap sedia sepenuhnya dalam menghadapi kecemasan sekiranya berlaku banjir, kata aktivis keselamatan Balasupramaniam Krishnan.

Balasupramaniam, yang lebih dikenali sebagai Kapten Bala berkata pada musim tengkujuh ketika ini mungkin berlaku hujan lebat berterusan yang boleh mengakibatkan limpahan sungai, justeru masyarakat dinasihatkan agar peka dengan keadaan kawasan tempat tinggal mereka.

"Kenali dan biasakan diri dengan kawasan tempat tinggal anda, jika terdapat sungai berhampiran ia mungkin melimpah akibat hujan lebat. Wujudkan kumpulan dalam kawasan perumahan anda untuk memantau sebarang situasi tidak selamat atau kawasan terdedah banjir. Sentiasa mengikuti berita untuk sebarang perkembangan terkini berhubung cuaca dan kejadian banjir.

"Apabila hujan lebat berterusan, anda mesti bersedia untuk berpindah. Perhatikan mana-mana kawasan yang lebih tinggi berhampiran tempat tinggal anda," katanya dalam program The Nation yang bertajuk 'Bantuan Banjir dan Persiapan Menghadapi Musim Tengkujuh' terbitan Bernama TV semalam.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar menyediakan beg kecemasan kalis air dan mudah dibawa, yang perlu mengandungi ubat-ubatan, pegecas telefon, lampu suluh dan tuala serta keperluan asas lain.

"Sebelum meninggalkan rumah, cabut semua punca elektrik, matikan bekalan utama elektrik dan tutup semua pintu dan tingkap. Ini merupakan langkah paling minimum semasa kecemasan akibat banjir," katanya.

Balasupramaniam berkata tiada siapa perlu beraksi sebagai wira dalam situasi banjir termasuk sukarelawan bantuan banjir, sebaliknya semua harus bekerjasama dan saling membantu terutama bagi kerja-kerja pemulihan pascabanjir.

"Jadi rakan, bekerjasama, turut serta, libatkan diri. Jangan hanya tengok dan buat komen kerana ini masanya untuk turun dan membantu.

"Apabila mangsa banjir kembali ke rumah, mereka tidak ada apa-apa hanya rumah yang diselaputi lumpur, jadi kita perlu menghulur bantuan untuk memulihkan rumah itu kepada keadaan yang boleh didiami," katanya.

Beliau juga menasihatkan sukarelawan bantuan banjir agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan mengetahui kemudahan yang terdapat berhampiran tempat mereka ditugaskan bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab membantu mangsa banjir dengan lebih baik.

Menurutnya sukarelawan mesti bergerak dalam kumpulan dan memaklumkan kehadiran mereka di kawasan sekitar bagi memastikan orang ramai tidak tersilap dengan menganggap mereka sebagai perompak.

"Rancang misi menyelamat dengan baik bagi memastikan mereka tidak menjadi beban kepada yang lain," katanya.

-- BERNAMA