Skip to main content

Malaysia

Bersediakah Malaysia menghadapi dekad digital seterusnya?

kl_tb
Ketika Malaysia mempercepat langkah menuju dekad digital, panel sepakat bahawa peraturan perlu berkembang seiring inovasi tanpa menjadi penghalang kepada kemajuan teknologi. -Gambar hiasan
Advertisement

PETALING JAYA: Malaysia mencatat kemajuan besar dalam memperluas ketersambungan digital serta penggunaan teknologi sepanjang sedekad lalu.

Namun, seiring perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), ancaman siber yang semakin canggih dan risiko dalam talian yang kian rumit, cabaran negara kini bukan sekadar menerapkan teknologi baharu, tetapi juga membina kepercayaan, menjamin keselamatan serta mewujudkan tadbir urus yang bertanggungjawab.

Persoalan itu menjadi tumpuan utama Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026, anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang menghimpunkan pengawal selia, pembuat dasar dan pemimpin industri bagi membincangkan bagaimana Malaysia boleh kekal berdaya saing, inovatif dan berdaya tahan dalam menghadapi dekad digital akan datang.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil ketika merasmikan persidangan itu menekankan kepentingan pertukaran pandangan antara pengawal selia ketika kerajaan berdepan perubahan teknologi yang pantas serta risiko dalam talian yang semakin kompleks.

Mengimbangi inovasi dan kawal selia

Ketika Malaysia mempercepat langkah menuju dekad digital, panel sepakat bahawa peraturan perlu berkembang seiring inovasi tanpa menjadi penghalang kepada kemajuan teknologi.

Pengerusi Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, Faiz Abdullah mengingatkan bahawa kawal selia berlebihan boleh mengekang inovasi kerana pasaran lazimnya bergerak lebih pantas berbanding kemampuan kerajaan menggubal undang-undang.

Bagaimanapun, beliau mengakui peraturan tetap diperlukan apabila wujud risiko yang jelas terhadap masyarakat, khususnya berkaitan keselamatan dalam talian.

Bagi beberapa ahli panel, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai pilihan antara kawal selia dan inovasi, sebaliknya memerlukan perubahan terhadap cara dasar dirangka.

Pengarah Urusan Bersama Pemandu Associates, Aida Azmi berkata, kerajaan dan sektor perniagaan sering bergerak mengikut tempoh masa yang berbeza.

Menurutnya, syarikat diberi ganjaran kerana membawa produk ke pasaran dengan pantas, manakala pengawal selia pula dijangka memastikan dasar yang dirangka benar-benar tepat sebelum dilaksanakan.

Beliau menggesa pembuat dasar menggunakan pendekatan lebih tangkas dan tidak lagi melihat peraturan sebagai dokumen tetap yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dipinda.

“Mewujudkan dasar seperti membangunkan sesuatu produk,” katanya sambil menegaskan peraturan perlu sentiasa ditambah baik berdasarkan maklum balas serta pengalaman pelaksanaannya dalam keadaan sebenar.

Kepercayaan sebagai asas utama

Sama ada perbincangan menyentuh AI, data peribadi atau media sosial, satu perkara yang berulang kali ditekankan ialah keyakinan masyarakat akhirnya akan menentukan kejayaan penggunaan teknologi digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Malaysia, Mediha Mahmood berkata, kebimbangan terhadap platform berasaskan algoritma mendorong pengawal selia di seluruh dunia meneliti bukan sahaja kandungan berbahaya, malah sistem yang terus menyarankan bahan serupa kepada pengguna.

“Isunya bukan sekadar kandungan yang ditawarkan, tetapi bagaimana ia disampaikan dan berapa kerap kandungan sama terus disajikan kepada pengguna,” katanya.

Menurutnya, ciri seperti video dimainkan secara automatik, paparan tanpa penghujung dan cadangan kandungan berdasarkan minat pengguna direka untuk meningkatkan interaksi.

Namun, di sebalik kemudahan itu, ciri berkenaan juga boleh memerangkap pengguna dalam “gelembung” digital sehingga menyebabkan mereka berulang kali terdedah kepada kandungan dan pandangan serupa.

Katanya, tanggungjawab mewujudkan persekitaran digital lebih selamat bukan sahaja terletak pada platform, malah pengguna juga perlu lebih berhati-hati ketika berinteraksi dengan kandungan dalam talian.

Mengawal selia perkembangan pesat AI

AI turut mendominasi perbincangan, bukan sekadar mengenai potensinya, tetapi juga cara teknologi itu perlu dikawal selia termasuk dari aspek keselamatan siber dan undang-undang.

Fazlan Abdullah daripada CyberSecurity Malaysia memberi amaran bahawa AI menjadikan e-mel pancingan data, penipuan dan video palsu atau ‘deepfake’ semakin sukar dibezakan daripada kandungan sebenar.

“Pihak yang berniat jahat menggunakan AI untuk menyerang anda. Jika anda berada dalam sesebuah organisasi atau kerajaan, anda juga perlu menggunakan AI untuk mempertahankan diri daripada serangan AI,” katanya.

Beliau menggesa organisasi mengambil langkah keselamatan siber secara proaktif dan tidak hanya memikirkan aspek keselamatan selepas sesuatu produk atau sistem dilaksanakan.

Cadangan Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI Malaysia bersama penubuhan Pejabat AI Kebangsaan dan Institut Keselamatan AI dilihat sebagai sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk membentuk kerangka kawal selia berasaskan risiko.

Kerangka itu bertujuan menggalakkan inovasi sambil melindungi kepentingan orang ramai daripada risiko yang mungkin timbul.

Pakar turut menegaskan kerangka berkenaan perlu kekal fleksibel supaya dapat disesuaikan dengan perkembangan teknologi yang pantas.

Dalam konteks serantau, Hazremi Hamid daripada Sekretariat ASEAN berkata, AI tidak boleh dikawal selia dengan berkesan sekiranya setiap negara bertindak secara bersendirian kerana data, perkhidmatan digital dan ancaman dalam talian merentasi sempadan.

Katanya, ASEAN sedang berusaha membangunkan prinsip bersama berkaitan tadbir urus AI, pengurusan data dan perkongsian maklumat dengan mengambil kira tahap pembangunan digital yang berbeza antara negara anggota.

Bersedia menghadapi masa depan digital

Sepanjang 10 sesi dialog, perbincangan berulang kali menyentuh keperluan mempersiapkan masyarakat untuk menghadapi masa depan digital.

Panel berpandangan daya saing negara bergantung pada kemampuan rakyat bukan sahaja menggunakan teknologi baharu, tetapi juga memahami cara mengendalikannya dengan selamat dan bertanggungjawab.

Walaupun sebahagian besar persidangan membincangkan algoritma, peraturan dan AI, mesej terpentingnya kekal mudah dan jelas, iaitu teknologi mesti terus berkhidmat kepada manusia, bukannya manusia tunduk kepada teknologi.

Must Watch Video

Advertisement