KUCHING:Sebelum ini penduduk Gedong di Simunjan, Sarawak perlu menempuh perjalanan berkenderaan lebih setengah jam untuk melakukan transaksi tunai.

Puncanya, tiada bank mahupun mesin teler automatik (ATM) berdekatan.

Penantian bertahun-tahun penduduk bakal berakhir apabila satu unit mesin ATM akan ditempatkan di Anjung Usahawan Gedong Disember ini

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais berkata usaha menempatkan mesin ATM ini perlu disegerakan memandangkan keperluan mendesak rakyat ketika ini

“Perkhidmatan ini akan dimanfaatkan sekitar 7,000 penduduk asal Gedong.

“Terdapat sekitar 4,000 pekerja ladang kelapa sawit yang tinggal di ladang akan turut menggunakan perkhidmatan mesin ATM ini nanti,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Jelas Naroden, sekiranya ada permintaan yang lebih daripada rakyat gedong, pemasangan atm tambahan akan dipertimbangkan.

Tambahnya lagi selain mesin ATM, perkhidmatan bank bergerak mungkin diperlukan untuk kemudahan penduduk pedalaman.

Sementara itu, Pengarah Wilayah Agro Bank Sarawak, Abdul Halek Abdullah berkata, pemasangan mesin ATM itu nanti akan bantu meningkatkan ekonomi penduduk Gedong

“Jika ada tunai di kawasan Gedong, banyaklah peluang perniagaan akan timbul.

“Kedai runcit akan meningkat jualannya dan  peluang pekerjaan akan bertambah. Ini yang kita nampakdalam usaha kita membantu masyarakat luar bandar terutamanya di Gedong,” katanya.

Isu ketiadaan mesin ATM hangat diperkatakan awal tahun ini, apabila penduduk pedalaman dan luar bandar terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk ke pekan dan bandar terdekat bagi menggunakan khidmat perbankan berkenaan.

Baca: Tiada mesin ATM berdekatan, warga Pakan hadapi kesukaran sepanjang PKP

Baca: Inisiatif bank bergerak, langkah tepat bantu penduduk luar bandar - ADUN Pakan

B
aca: Sinar baharu buat warga Pakan, BSN buka kaunter perkhidmatan dua hari