Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih enggan mengemukakan pandangan beliau berhubung pertemuan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Sebaliknya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membuat keputusan.

“Saya tanya Azmin, apa yang dia bincang. Dia kata orang UMNO ini mereka sudah hilang parti, mereka tak tahu apa nak buat. Mereka tanya sama ada, nak masuk parti lain ataupun tidak.

“Ada (ahli Parlimen UMNO) yang membuat kenyataan, mereka sokong kepimpinan Dr Mahathir.

“Hak dia (Azmin) untuk jumpa sesiapapun. Kalau parti dia (PKR) tak setuju, parti dia bagi tau dia lah. Dia bukan parti saya,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Media difahamkan, Dr Mahathir mengadakan pertemuan dengan Mohamed Azmin semalam di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya sebelum berlangsungnya pra-pelancaran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

BACA: Azmin buka mulut, mesyuarat dengan pembangkang katanya perkara biasa