Skip to main content

Malaysia

Kerajaan jamin bekalan petroleum kekal stabil hingga Disember

41635935636_petrolpump.jpg
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan telah mengenal pasti tiga pendekatan bagi menjamin bekalan petroleum negara. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekalan petroleum negara dijamin mencukupi sehingga Disember 2026 meskipun pasaran tenaga global kembali tidak menentu susulan ketegangan di Asia Barat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan telah mengenal pasti tiga pendekatan bagi menjamin bekalan petroleum negara.

"Tiga pendekatan yang sedang dilaksanakan iaitu mempelbagaikan sumber import, mengoptimumkan pengeluaran bahan api domestik, serta memperkukuh perjanjian bekalan jangka panjang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Taklimat Krisis Bekalan Global di Parlimen hari ini.

Akmal berkata, kerajaan akan terus berwaspada berikutan pasaran global masih berdepan kekangan bekalan fizikal serta penyusutan inventori minyak.

Dalam perkembangan sama, purata harga minyak mentah Brent meningkat 5.9 peratus daripada AS$69.82 setong kepada AS$73.94 setong bagi tempoh 6 hingga 10 Julai.

"Kenaikan ini berlaku selepas serangan baharu Amerika Syarikat terhadap Iran menghidupkan semula kebimbangan pasaran terhadap keselamatan pelayaran dan risiko gangguan bekalan melalui Selat Hormuz," katanya.

Pada masa sama, purata harga gas asli cecair (LNG) turut meningkat 7.9 peratus kepada AS$17.31 berikutan langkah pasaran global mengisi semula storan simpanan.

Ketegangan di Asia Barat kembali memuncak selepas Amerika Syarikat dan Iran saling melancarkan serangan sejak 8 Julai lalu. 

Susulan itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengumumkan penutupan Selat Hormuz sekali gus menyebabkan stok bekalan petroleum global terganggu semula.

Bagaimanapun Akmal berkata harga arang batu kekal stabil pada sekitar AS$129 setan, disokong permintaan sederhana dari China dan India serta peningkatan pengeluaran dan inventori domestik di kedua-dua negara.

Akmal turut memaklumkan permintaan puncak elektrik di Semenanjung meningkat 2.5 peratus kepada 20,832 megawatt bagi tempoh 6 hingga 11 Julai, namun masih berada dalam margin rizab bekalan elektrik negara.

“Peningkatan ini masih terkawal dan berada dalam margin rizab bekalan elektrik negara,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement