Skip to main content

Malaysia

RUU Kebebasan Maklumat dirujuk ke JKPK - Azalina

Kuala Lumpur , 18 Mei 2026. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyampaikan ucapan berikutan  Majlis Pelancaran Khidmat Pro Bono Komersial Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Auditorium AIAC Bangunan Sulaiman. Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata langkah itu bagi membolehkan penelitian lebih menyeluruh terhadap RUU berkenaan menerusi libat urus bersama Ahli Parlimen dan pihak berkepentingan. - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengemukakan usul untuk merujuk Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK), esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata langkah itu bagi membolehkan penelitian lebih menyeluruh terhadap RUU berkenaan menerusi libat urus bersama Ahli Parlimen dan pihak berkepentingan.

“Kerajaan mengambil maklum pelbagai pandangan yang dikemukakan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan pihak berkepentingan berhubung beberapa aspek RUU tersebut.

“Pandangan ini mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan undang-undang yang bakal digubal benar-benar memenuhi matlamat reformasi dan menepati amalan terbaik,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata penggubalan RUU itu adalah antara komitmen Kerajaan MADANI dalam melaksanakan reformasi institusi bagi memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus baik, di samping meningkatkan akses rakyat kepada maklumat rasmi kerajaan secara teratur serta berlandaskan undang-undang.

Azalina berkata pendekatan merujuk RUU itu kepada JKPK selaras dengan amalan Kerajaan MADANI dalam melaksanakan reformasi institusi yang besar dan kompleks bagi memastikan kerangka perundangan diwujudkan bersifat komprehensif, seimbang serta diyakini rakyat.

Terdahulu, beliau membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat dan memaklumkan bahawa bacaan kedua akan dibuat pada mesyuarat kali ini.

RUU Kebebasan Maklumat 2026 bertujuan menyediakan mekanisme tatacara bagi mengawal selia permintaan akses kepada maklumat dalam kawalan pihak berkuasa awam, yang turut memperuntukkan bahawa mana-mana warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas layak membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan akses kepada maklumat rasmi berkenaan.

Menurut naskhah biru disiarkan di portal rasmi Parlimen, mekanisme itu bagaimanapun mengekalkan keutamaan undang-undang kerahsiaan sedia ada, dengan mengecualikan maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) serta dokumen lain yang pendedahannya dilarang atau dilindungi di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement