HULU TERENGGANU: Seekor beruang matahari mati selepas dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian di Kilometer 388.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dari arah Ajil menghala ke Bukit Besi.

Beruang betina itu dilanggar sebuah kereta jenis Mercedes Benz kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Ketika kejadian, pemandu yang berusia 50 tahun bersama tiga lagi ahli keluarganya itu dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala Kuala Lumpur.

Sejurus tiba di tempat kejadian, seekor beruang matahari tiba-tiba melintas dan keadaan jalan yang gelap menyebabkan pemandu terbabit tidak menyedari kehadiran beruang itu.

Pemandu terbabit tidak sempat memberhentikan keretanya lalu merempuh beruang matahari tersebut.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata rempuhan itu menyebabkan haiwan itu mati di tempat kejadian.

Manakala pemandu serta penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya bangkai beruang itu kemudian diserahkan  kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) untuk siasatan lanjut.