TAIPING: Kelulusan sewaan khemah milik Kelab Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping kepada seorang individu bagi urusan majlis kesyukuran, dibatalkan serta-merta setelah didapati ia mempunyai unsur politik.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, tindakan itu susulan sebelum ini tular di media sosial bahawa penggunaan khemah milik polis digunakan untuk majlis berunsurkan politik.

"Telah tular di media sosial mengatakan khemah milik polis digunakan bagi menganjurkan majlis berunsur politik.

"Hal ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat.

"Dimaklumkan bahawa IPD Taiping telah menerima satu permohonan menyewa khemah milik Kelab Polis IPD Taiping daripada individu atas urusan majlis kesyukuran dan permohonan itu diluluskan.

"Bagaimanapun, setelah anggota yang bertugas tiba di lokasi mendapati situasi tempat pemasangan khemah tersebut mempunyai unsur politik," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sehubungan itu, Razlam berkata arahan segera telah dikeluarkan supaya penyewaan khemah itu dibatalkan serta merta dan tidak dipasang.

Ia bagi mengelakkan tidak timbul sebarang padangan dan persepsi negatif, di samping boleh mencalarkan imej polis sebagai badan berkecuali.