sedfwedfwedw.jpg
Anak ibarat kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Justeru, tanggungjawab ini perlu digalas dengan amanah.

Pepatah juga ada mengatakan, “Menjaga anak perempuan lebih susah daripada menjaga sekandang lembu.” Ya, sebagai seorang ibu kepada tiga anak perempuan yang sedang membesar, saya akui pepatah tadi ada benarnya. Tetapi, mana boleh kita nak samakan mendidik anak kita dengan menjaga haiwan ternakan, bukan? Dan jika dahulu ibu bapa yang memiliki anak perempuan berasa tugas menjaga anak-anak gadis adalah ‘jauh lebih berat’ berbanding membesarkan anak lelaki, namun sebenarnya menjaga anak lelaki juga tak senang seperti yang disangka. Kerana anak lelaki bakal pikul tanggungjawab besar, melindungi kaum Hawa.

Ya, semua anak yang dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara ibu bapa merangsang mereka. Ibu bapa mesti mempunyai misi yang jelas dalam mendidik zuriat mereka. Saya cuba tekankan soal mendidik anak-anak kali ini kerana jika kita lihat kepada apa yang berlaku pada hari ini, banyak perlakuan jenayah melibatkan golongan remaja dan kanak-kanak. Sebagai contoh, berita kematian tiga beradik yang dibunuh dengan kejam di Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar, Kedah pada 30 November 2013 menyentap perasaan saya, juga seluruh rakyat Malaysia. Ya, ‘kehilangan’ Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14; Nur Izzati Husna, 12; dan Puteri Nurul Akma, 3; cukup mengejutkan kerana kanak-kanak yang tidak berdosa ini sanggup dibunuh dengan kejam. Lebih menyayat hati apabila mayat Nor Syafikah ditemui tertiarap dalam keadaan separuh bogel di tepi sawah Alor Senibong, manakala mayat dua adiknya, ditemui di dalam terusan MADA Kampung Padang Petani, Langgar kira-kira 3.5 kilometer dari mayat kakak sulungnya ditemui. Walaupun mereka ditemui lemas, pihak polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh.

Berbalik kepada kes tersebut, soalan saya, salahkah ibu kepada tiga anak perempuan ini apabila nyawa anaknya diambil sekali gus? Apakah dia tidak pandai mendidik anak? Kejam sungguh jika ada yang berpendapat sebegitu! Tugas sebagai ibu bukan mudah. Kaum ibu di luar sana, jika kamu sudah berusaha sebaiknya mendidik anak-anak perempuan kamu menjadi anak solehah, namun kalau ada jantan durjana (maaf kerana menggunakan istilah ‘jantan’ di sini, gelaran lelaki hanya sajak untuk yang budiman sahaja) yang ‘merosakkan’ anak kamu, apa yang kaum ibu boleh lakukan? Jika berlaku kecelakaan terhadap anak-anak perempuan kamu, siapa yang patut dipersalahkan? Ibu yang tidak tahu menjaga anak? Atau anak perempuan yang tidak pandai menjaga diri/maruah? Ini berlaku disebabkan jantan durjana. Noktah.

Jantan sebegini wujud? Ya, kalau anak lelaki kamu tidak dididik dan diterapkan dengan nilai-nilai murni, maka perangai yang tidak senonoh bakal jadi pegangan mereka. Justeru, mendidik anak lelaki dan anak perempuan berbeza. Ibu bapa juga mempunyai peranan berbeza dalam mendidik anakanak terutamanya bapa dalam memberikan perhatian dan bimbingan menurut Islam secara berterusan kepada anak khasnya anak lelaki. Kenapa anak lelaki? Kerana anak lelaki bakal menjadi imam, ketua keluarga dan pelindung wanita. Jika anak lelaki tidak dididik untuk menghargai wanita, maka perlakuan tidak bermoral seperti hari ini akan terus kita saksikan. Fikir-fikirkanlah…