SHAH ALAM: Seramai enam individu berusia lingkungan 45 hingga 62 tahun, termasuk dua lelaki warga Colombia direman bagi membantu siasatan beberapa kes pecah rumah di Selangor dan Johor, melibatkan kerugian hampir RM1.9 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, turut ditahan empat warga tempatan.

Tambahnya, pemeriksaan di lima lokasi berlainan di Selangor dan Kuala Lumpur membawa kepada penemuan 64 jam tangan berjenama, lapan beg pakaian berjenama, tujuh pasport pelbagai negara dan 79 barang kemas.

Turut dirampas ialah 29 barangan disyaki kristal, 146 matawang asing pelbagai negara, dan duit Malaysia sebanyak RM1,821, selain beberapa kenderaan, termasuk sebuah Perodua Bezza merah yang tular di Cyberjaya baru-baru ini.

“Sindiket ini aktif sejak Oktober 2023 dengan menyasarkan rumah mewah. Suspek wanita tempatan berusia 55 tahun merekrut dua lelaki Colombia yang masuk ke Malaysia menggunakan visa pelawat.

“Modus operandi ialah kedua-dua lelaki Colombia tersebut menyamar sebagai penghantar barangan untuk mengelak daripada dikesan. Mereka juga akan memastikan rumah yang disasarkan itu tidak berpenghuni,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, wanita itu turut bertindak sebagai penjual hasil rompakan, dengan bantuan tiga lagi suspek warga tempatan.

Mengenai Perodua Bezza yang tular, Mohd Shuhaily berkata, ia menyebabkan dua suspek warga Colombia cuba untuk melarikan diri ke negara asal.

“Boleh juga saya kongsikan di sini, maklumat yang disebarkan oleh masyarakat setempat berkaitan sebuah kereta Perodua Bezza merah, menyebabkan dua ahli sindiket ini gusar, dan cuba melarikan diri untuk pulang ke negara mereka, tetapi pasukan (polis) berjaya intercept di kedua-dua lapangan terbang,” katanya lagi.

Mohd Suhaily berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam rakaman video yang tular pada 4 Disember lalu, 28 buah kereta peronda polis dilihat mengejar sebuah Perodua Bezza di Cyberjaya, selepas kereta itu lari daripada pemeriksaan di Jalan Utara, Petaling Jaya menghala ke Cyberjaya.