Kerajaan Selangor hari ini menyerahkan kembali kitab Bible yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia, kata Menteri Besarnya, Mohamed Azmin Ali.

Penyerahan tersebut dibuat di Istana Alam Shah dalam satu majlis pagi ini dan disaksikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Mohamed Azmin.

Turut hadir, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan beberapa pemimpin gereja daripada Selangor, Sabah dan Sarawak.

Menerusi akaun Twitternya, Mohamed Azmin berkata satu penyelesaian dipersetujui berhubung rampasan kitab Bible bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah.



“Sepertimana yang saya katakan berulang kali sejak memegang jawatan Menteri Besar, pentadbiran ini akan menggunakan segala kaedah yang ada untuk meningkatkan kefahaman agama dan komunal di Selangor.

“Antara lain, saya telah berjanji untuk memulangkan kitab Bible kepada penganut Kristian kerana ia milik mereka," kata Azmin.

Dalam pada itu, Azmin turut memetik ayat 143 surah al-Baqarah mengikut tafsiran cendekiawan Islam terkemuka, Sheikh Dr Yusuf al Qardhawi yang memperkatakan tentang konsep kesederhanaan dan keadilan dalam sebuah negara Islam.

“Islam itu rahmatan Lil alamin, satu rahmat kepada semua umat manusia, dan pentadbiran saya akan terus menyebarluaskan ajaran Islam dan menjadikan kerajaan Selangor sebagai contoh dalam menjayakan kesederhanaan dan keadilan,”

Pada 2 Januari lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas 321 Bible bahasa Melayu dan Iban dari Persatuan Bible Malaysia (BSM) bagi membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988.

Namun pada 11 Jun, Pejabat Peguam Negara memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible tersebut, sekali gus menutup kes berkenaan.