Skip to main content

Malaysia

'Big data analytics' elak isu lambakan, laras harga rumah mampu milik ikut lokaliti

TB_Nga Kor Ming_AWANI.jpg
Kor Ming berkata pendekatan 'big data analytics' akan turut digunakan untuk menentukan paras harga rumah mampu milik yang tidak lagi sesuai ditetapkan secara seragam di seluruh negara. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkenalkan sistem 'Big Data Analytics' mulai tahun hadapan bagi memastikan pembangunan perumahan lebih menepati keperluan dan permintaan sebenar rakyat.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, langkah itu penting bagi menangani masalah ketidakpadanan antara projek perumahan ditawarkan dengan produk yang diperlukan pasaran, sekali gus menjadi punca lambakan hartanah atau 'property overhang'.

Menerusi sistem berkenaan, data perumahan akan dikumpul mengikut lokaliti termasuk daerah dan negeri, selain mengambil kira pendapatan penduduk, jenis rumah serta permintaan pasaran.

"Bagi sektor perumahan negara, masalah utama bukan penawaran dan pembinaan. Masalah kita yang kritikal adalah the mismatch (ketidakpadanan), iaitu produk ditawarkan bukan produk yang diperlukan.

"Di bawah data analytics ini, semua lokaliti, wilayah, negeri akan ada data untuk dirujuk pemaju ketika membangunkan sesuatu projek perumahan, supaya produk ditawarkan itu adalah sesuatu yang diperlukan pasaran," jelas Kor Ming.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Dasar Perumahan Negara 2026-2035, di sini, pada Isnin.

Menurut Kor Ming, sistem itu akan dibangunkan dengan kerjasama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan KPKT sebelum dibuka kepada pemain industri untuk mendapatkan akses data berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan sama akan digunakan untuk menentukan paras harga rumah mampu milik yang tidak lagi sesuai ditetapkan secara seragam di seluruh negara.

Katanya, pendekatan satu untuk semua atau 'one size fits all' tidak lagi relevan kerana kemampuan kewangan penduduk berbeza mengikut lokaliti.

"Bayangkan harga rumah mampu milik dekat Kuala Krai, Kelantan sama dengan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Dia memang tak saintifik. Sebab itu kita perlukan big data analytics.

"Kalau ikut cerapan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), harga rumah mampu milik di Lembah Klang sebenarnya adalah RM500,000. Tetapi dekat Kelantan mungkin RM300,000 kerana pendapatan berbeza mengikut lokaliti.

"Daripada big data analytics, kita akan ambil pendapatan mengikut lokaliti, wilayah dan juga jenis kawasan tersebut. 

"Nanti apabila pemaju membangunkan projek, ia mengikut takrifan yang lebih mencerminkan realiti, harus berpijak di bumi nyata apabila menggapai di langit," katanya.

Pendekatan berasaskan data itu juga akan disokong teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menentukan lokasi, jenis produk perumahan dan harga yang bersesuaian dengan sesuatu kawasan.

Langkah ini selari dengan sasaran kerajaan untuk membina satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Tambah Kor Ming, penggunaan Big Data Analytics tidak diwajibkan kepada pemaju, sebaliknya kerajaan menjangkakan pemain industri akan memanfaatkannya bagi memastikan projek dibangunkan berlandaskan data lebih saintifik dan menyeluruh.

Must Watch Video

Advertisement