Seorang bilal sebuah masjid adalah antara lima lelaki yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) malam tadi kerana memiliki dadah.

Ketua Pegawai AADK daerah Pendang, Ahmad Zaher Hamid berkata, bilal berusia 38 tahun itu ditahan bersama lima lelaki berusia 18 hingga 43 tahun kerana memiliki 2.75 gram dadah jenis heroin dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sejahtera, di sini.

"Dalam serbuan pada 11 malam, kita menemui heroin dipercayai milik bilal itu sebelum kita menahannya dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala lima yang lain mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Zaher berkata,operasi yang bermula pada 8.30 pagi semalam turut menahan 16 individu lain atas kesalahan dadah di lima kawasan berasingan di Kubur Panjang, Keda Tanjung Setol, Kampung Kubang Pisang, Kampung Pulau Machang dan sekitar Mukim Air Putih.

Katanya, mereka yang ditahan adalah terdiri daripada penoreh getah dan penggangur.

Beliau berkata kesemua lelaki itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk menjalani saringan air kencing dan hasilnya kesemua mereka didapati positif dadah.

-- BERNAMA