KEMAMAN:Bilangan mangsa banjir di Terengganu hari ini mencatatkan peningkatan lebih empat kali ganda berbanding 1,139 orang yang dipindahkan semalam.

Peningkatan mendadak itu berikutan fenomena air pasang besar serta hujan lebat yang masih melanda di kawasan pedalaman.

Banjir gelombang keempat yang melanda negeri ini sejak Khamis lalu menyaksikan daerah Kemaman paling teruk terjejas.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata sehingga jam 7 malam tadi, seramai 5,759 mangsa dipindahkan dari kediaman mereka.

"Sebanyak 43 pusat pemindahan sementara (PPS) masih diaktifkan di daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu bagi menempatkan 1,488 keluarga.

"Kemaman terus merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 4,809 mangsa. Sebanyak 1,155 keluarga yang terjejas itu dipindahkan ke 24 PPS.

"Ia disusuli Hulu Terengganu yang menyaksikan seramai 605 mangsa terjejas mambabitkan 223 keluarga. Kesemua mangsa yang terjejas ditempatkan di 11 PPS," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, di Dungun pula 334 mangsa dipindahkan ke tujuh PPS manakala di Setiu (11).