Dua blogger yang dikenali sebagai King Jason dan Papagomo telah ditahan oleh polis berikutan penyebaran mesej berbaur fitnah dan perkauman dalam laman Twitter mereka.

King Jason, 38, yang bekerja sebagai peniaga ditahan di Jalan Kota Raja, Kampung Jawa di Klang manakala Papagomo atau nama dipercayai bernama Wan Muhammad Azri Wan Deris, 33ditahan di di sebuah stesen minyak di Danau Kota Setapak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, King Jason ditahan setelah didapati menulis tiga tweet posting berbaur fitnah terhadap pasukan polis pada jam 6 petang semalam.

Sementara itu, Papagomo pula didapati menulis 'tweet' berbaur hasutan dan perkauman yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam pada jam antara 5.02 petang dan 5.05 petang semalam.

Kedua-dua mereka akan direman untuk siasatan dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

Maklumat penahanan mereka turut diumumkan oleh Polis Diraja Malaysia melalui Twitter.


Selain itu, siasatan terhadap seorang lagi blogger, MiLo Suam telah selesai dan blogger tersebut telah dibebaskan pada 4 Mei yang lalu.

Kertas siasatan terhadapnya turut telah dihantar kepada peguam negara.

Sementara itu, dua laporan polis telah dibuat di Bangsar dan Nibong Tebal berhubung laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! yang berbaur perkauman pada hari ini.

Kes tersebut akan disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah.
Beliau menasihatkan kepada semua pengguna media sosial agar mendapatkan fakta yang tepat sebelum memuat naik ke blog mereka atau mana-mana media sosial dan perlu ada sikap tanggungjawab dan integriti yang tinggi kerana maklumat yang disampaikan akan memberi impak kepada masyarakat, khususnya pengguna Internet.

"Pengguna Internet tidak seharusnya memainkan isu-isu sensitif seperti perkauman, keagamaan dan sebagainya yang boleh menggangu gugat keharmonian dan keamanan negara yang berbilang bangsa dan agama di negara," katanya lagi.