Skip to main content

Malaysia

BNM perkukuh kawal selia keselamatan siber bagi memastikan daya tahan bank - Gabenor

Abdul Rasheed mengetengahkan pendekatan '3S' BNM iaitu Soal, Sekat, Sebar sebagai peringatan mudah kepada orang ramai untuk melindungi diri mereka daripada sebarang ancaman siber. - Gambar fail/BERNAMA
Abdul Rasheed mengetengahkan pendekatan '3S' BNM iaitu Soal, Sekat, Sebar sebagai peringatan mudah kepada orang ramai untuk melindungi diri mereka daripada sebarang ancaman siber. - Gambar fail/BERNAMA

Ringkasan AI

  • Bank Negara Malaysia mempertingkatkan langkah penyeliaan dan kawal selia untuk memastikan institusi kewangan berdaya tahan terhadap ancaman siber yang semakin berkembang.
  • Institusi kewangan melabur besar dalam pertahanan keselamatan siber, dengan kerjasama rapat antara BNM, NACSA dan sektor kewangan untuk memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan siber.
  • BNM menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada terhadap penipuan siber serta mengamalkan pendekatan '3S' iaitu Soal, Sekat, Sebar untuk melindungi diri.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mempertingkatkan langkah penyeliaan dan keperluan kawal selia bagi memastikan institusi kewangan kekal berdaya tahan terhadap ancaman siber yang sentiasa berkembang, termasuk keupayaan mereka mengesan, bertindak balas dan memulihkan keadaan susulan insiden siber.

Gabenor Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata institusi kewangan juga turut membuat pelaburan besar bagi memperkukuh pertahanan keselamatan siber mereka berikutan serangan siber yang berlaku baru-baru ini.

“Bagi pihak BNM, kami amat menitikberatkan aspek keselamatan siber. Kami memperkukuh daya tahan institusi kewangan melalui langkah penyeliaan dan penambahbaikan berterusan terhadap Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT) kami.

Advertisement

“Kami juga bekerjasama rapat dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan institusi kewangan untuk memperkukuh kesiapsiagaan siber, daya tahan dan kesediaan operasi sektor itu,” katanya pada sidang media mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga hari ini.

Abdul Rasheed turut mengingatkan bahawa memandangkan negara ini semakin beralih ke arah pendigitalan dan saling berhubung, institusi kewangan perlu bersedia menghadapi insiden siber dan juga gangguan perkhidmatan perbankan yang boleh berlaku sebagai sebahagian daripada operasi harian.

Advertisement

Dalam hal ini, beliau menegaskan keselamatan siber merupakan tanggungjawab bersama yang melibatkan pengawal selia, institusi kewangan dan pengguna, sambil menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap penipuan, cubaan menyamar dan ancaman siber lain.

Sehubungan itu beliau menasihatkan pengguna supaya menyemak kesahihan maklumat yang diterima melalui media sosial, e-mel dan saluran komunikasi lain dengan merujuk kepada sumber yang dipercayai dan rasmi sebelum berkongsi maklumat itu atau memberi sebarang maklum balas.

Beliau turut mengetengahkan pendekatan '3S' BNM iaitu Soal, Sekat, Sebar sebagai peringatan mudah kepada orang ramai untuk melindungi diri mereka daripada sebarang ancaman siber.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement