KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa kelonggaran kepada individu-individu yang telah lengkap divaksin termasuk membenarkan kehadiran penonton atau penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4.

Kelonggaran ini berkuat kuasa bermula 1 Oktober. 

"Kehadiran ini meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi dengan syarat, penonton atau penyokong telah menerima vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.

"Kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung," memetik kenyataan pada Rabu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 berkata terdapat beberapa perkara lain yang turut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.

Katanya, majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuk perasmian dan bengkel dibenarkan di negeri Fasa 2 dan Fasa 3, dengan syarat tetamu telah menerima vaksinasi lengkap dan kapasiti 50 peratus ruang premis, manakala 100 peratus kapasiti penuh bagi Fasa 4.

"Bagi individu yang belum divaksin, perlu menjalani pre-event test menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan," katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut mengumumkan pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, TVET dan sebagainya di semua fasa dengan mematuhi SOP selaras dengan pembukaan institut pengajian tinggi (IPT) berkuat kuasa 15 Oktober 2021.

Maklumat lanjut mengenai SOP bagi kelonggaran baharu ini disiarkan di laman sesawang rasmi kementerian-kementerian yang terlibat dan www.mkn.gov.my.

Beliau pada masa sama menegaskan, kerajaan memandang serius isu segelintir individu yang keluar daripada kediaman biarpun sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

"Individu yang didapati bersalah, akan dikenakan tindakan yang tegas. Tindakan tidak bertanggungjawab ini boleh mengundang risiko keselamatan kepada masyarakat serta menjejaskan usaha kerajaan bagi menangani wabak ini," tegasnya.

Jelasnya, walaupun kerajaan memberikan kelonggaran, namun beliau berharap rakyat dapat terus patuh kepada SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.

"Negara kini sedang menuju ke fasa endemik di mana kita akan terus hidup bersama COVID-19 dalam kehidupan norma baharu," tegasnya.

Justeru, beliau amat mengharapkan kerjasama Keluarga Malaysia untuk terus mengamalkan kawalan kendiri serta menjaga kebersihan demi keselamatan diri.