BUTTERWORTH: Dua pekerja kilang ditahan polis selepas dipercayai menghasilkan bom buatan sendiri dan menyimpannya di sebuah rumah pangsapuri di Taman Pandan, Butterworth.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, kedua-dua suspek lelaki tempatan dan wanita warganegara asing berusia 38 dan 32 tahun ditahan di dua lokasi di Mak Mandin Butterworth malam tadi.

Mohd Asri berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima aduan daripada seorang wanita lain yang memaklumkan menemui bungkusan mencurigakan dipercayai bahan letupan di pangsapuri berkenaan.

Menurutnya, penemuan itu susulan satu kejadian letupan yang berlaku pada jam 12.56 tengah hari di hadapan sebuah rumah di kawasan berkenaan.

Mohd Asri berkata, sebaik menerima panggilan tersebut, anggota Unit pemusnah Bom (UPB), Unit Forensik dan Unit K9 dihantar ke lokasi kejadian.

Katanya, pemeriksaan polis mendapati bahan letupan tersebut adalah ‘improvised explosive device’ (peranti letupan yang telah diubahsuai).

“Hasil soal siasat terhadap suspek pertama telah membawa kepada penemuan sebutir lagi bom dan peluru buatan sendiri dan polis turut merampas sepucuk pistol serta kerambit.

"Suspek mengakui telah mempelajari cara membuat bom melalui laman web dan bahan diperolehi melalui pembelian atas talian,” Katanya dalam kenyataan  hari ini.

Katanya, ujian saringan air kencing kedua-dua suspek negatif dadah dan mereka tiada rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan dan kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958 serta  Seksyen 8 Akta Senjata 1960.