Bomba datang pangsapuri sangka bau durian kebocoran gas

Tangkap layar video TikTok milik @faroy menunjukkan durian sedang dinikmati dan anggota bomba yang datang ke pangsapuri didiami.
SHAH ALAM: Hasrat sebuah keluarga Malaysia yang menetap di Paris untuk menikmati durian bertukar cemas apabila jiran mereka menyangka berlaku kebocoran gas, gara-gara bau raja buah itu memenuhi ruang pangsapuri didiami.
Ringkasan AI
- Keluarga Malaysia di Paris menikmati durian, tetapi bau durian menimbulkan kebimbangan jiran yang menyangka kebocoran gas berlaku di pangsapuri mereka.
- Video di TikTok milik @faroy mendedahkan detik lucu di mana pasukan bomba dipanggil akibat bau durian yang menyebar luas.
- Pasangan itu segera membersihkan bau durian, dan pasukan bomba akhirnya menyahut panggilan itu tanpa menemui sebarang kebocoran gas sebenar di pangsapuri.
“Suami saya waktu itu hendak ajar anak cara makan durian pulut dengan santan dan gula, tetapi lain pula jadinya.
“Bau durian itu merebak ke seluruh pangsapuri. Jadi jiran kami membuat laporan kepada bomba selepas terhidu bau tersebut ketika melalui rumah kami,” katanya kepada Sinar Harian.
Tidak lama kemudian, pasangan itu terkejut apabila pasukan bomba tiba di kawasan kediaman mereka.
Ibu kepada dua anak itu berkata, mereka segera mengambil langkah untuk ‘menghapuskan’ bau durian yang masih berlegar di seluruh rumah.
“Pada awalnya bila bomba datang, suami saya juga fikir ada gas bocor tetapi saya beritahu dia bahawa itu bukan bau gas, sebaliknya bau durian.
“Terus kami cuci semua pinggan, buang segala (kulit durian) dalam plastik dan ikat ketat, pasang pewangi rumah serta buka semua tingkap.
“Dalam video tersebut, itu kali kedua bomba masuk untuk hidu bau tetapi tidak jumpa apa-apa,” ujarnya.
Tambahnya, selepas pasukan bomba melakukan pemeriksaan menyeluruh, mereka akhirnya tidak menemui sebarang punca kebocoran gas seperti disangka.
“Memang kami tidak beritahu itu bau durian kerana risau nanti kena tindakan,” menurutnya.
Farah bersama keluarganya tinggal di Paris selama lima tahun demi mengikut suaminya yang bertugas di negara berkenaan sebelum pulang semula ke Malaysia pada 12 September tahun ini. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


