BAGAN SERAI:Malang bagi seorang kanak-kanak perempuan apabila zip dompet tersangkut di celahan giginya di Taman Wawasan Indah Lembah Beriah, di sini hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Nur Isma Zulaikha Abdullah, 4, dikatakan sedang bermain-main sebelum zip dompet itu tersangkut di gigi bahagian atas.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.52 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bergegas ke lokasi.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan zip itu dari gigi mangsa.

"Peralatan khas digunakan untuk mengeluarkan zip dompet itu sehingga berjaya, sambil mangsa ditenangkan oleh ahli keluarga," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya lagi, tiada sebarang kecederaan serius berlaku pada mangsa dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.37 tengah hari.