KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melancarkan helikopter ambulans pertama yang dinamakan Emergency Medical Air Rescue Services (EMARS), esok.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata EMARS ialah permulaan terbaik dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada setiap lapisan masyarakat selari dengan hasrat kerajaan yang menitikberatkan ketersampaian perkhidmatan agensi kerajaan ke akar umbi.

"EMARS akan digunakan untuk pemindahan mangsa dari hospital ke hospital dan memudahkan ketersampaian perkhidmatan kepada penduduk di kawasan pedalaman khususnya komuniti Orang Asli yang diketahui sukar untuk menggunakan laluan darat.

"Justeru, untuk pelaksanaan EMARS ini, JBPM telah membuat libat urus dengan Kementerian Kesihatan serta Jabatan Kemajuan Orang Asli dan telah mendapat sokongan yang baik," katanya ketika menjadi tetamu jemputan dalam program "Selamat Pagi Malaysia" terbitan RTM, hari ini.

Menurutnya, ketika ini JBPM memiliki sembilan helikopter pelbagai jenis terdiri daripada Mil Mi-17, Agusta A109E, Agusta 139 serta Agusta 189 dan sebuah helikopter Agusta A109E akan diubah suai bagi dilengkapkan dengan kemudahan perubatan awal pesakit bagi pelaksanaan EMARS.

Abdul Wahab berkata EMARS yang pertama seumpamanya di Malaysia itu akan dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di pasar raya AEON Shah Alam esok.

-- BERNAMA